My Add

Monday 6 August 2012

Program transformasi berteras pendekatan islah

KUALA LUMPUR, AHAD, 05 Ogos, 2012: Program Transformasi Negara yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi adalah berteraskan kepada pendekatan islah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui pendekatan itu juga Malaysia berjaya memperbaiki keadaannya iaitu daripada negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.

“Hakikatnya, Program Transformasi Negara berteraskan pendekatan ‘islah’. Pendekatan ‘islah’ ini telah berjaya memperbaiki keadaan Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.

“Kini, kita mengorak langkah ‘islah’, kita mendukung visi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, insya-Allah," katanya dalam perutusan sempena memperingati peristiwa Nuzul al-Quran tahun ini.

Perutusan beliau itu disiarkan di blog 1Malaysia di http://1malaysia.com.my hari ini.

Islah dari segi istilah adalah usaha mengembalikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai atau secara umumnya perkataan itu merujuk kepada sesuatu perubahan daripada keburukan kepada kebaikan.

Dalam perkembangan berkaitan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah meletakkan kitab suci al-Quran sebagai satu perkara penting dalam sistem pendidikan umat Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sempena memperingati peristiwa Nuzul al-Quran hari ini, pula menyeru umat Islam di negara ini terus menghayati ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan kehidupan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, al-Quran yang sempurna sifatnya merupakan rujukan yang terbaik untuk umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

‘‘Kemurnian, kesucian serta kesejahteraan yang terkandung di dalam al-Quran jika dihayati sepenuhnya dan disebatikan dalam kehidupan di negara yang majmuk rakyatnya, pasti akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang dihormati," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment