My Add

Thursday 9 August 2012

RM100,000 bantu keluarga Loganathan

KUALA LUMPUR, RABU, 08 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sumbangan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada keluarga bekas penyanyi kumpulan Alleycats, mendiang Datuk Loganathan Arumugam yang ditimpa musibah selepas rumah mereka terbakar.

Perdana Menteri berkata, bantuan yang akan disalurkan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu bertujuan meringankan beban keluarga mendiang selain menghargai sumbangannya dalam menyatukan bangsa Malaysia melalui bidang seni.

"Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada balu mendiang, Datin Susan Loganathan dan anak-anak. Mendiang semasa hayat melalui platform Alleycats sentiasa berjuang untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui bidang seni," katanya semasa berucap pada majlis Kar1sma Ramadan di sini hari ini.

Rumah mendiang Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga yang terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang hangus dijilat api dalam kejadian pada Isnin lalu.

Dalam pada itu Najib berkata, rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana dapat menjalani ibadat puasa dalam suasana aman serta makmur berbanding umat Islam negara lain khususnya di Asia Barat dan Afrika yang dilanda kacau-bilau sehingga membawa kepada pertumpahan darah.

Katanya, kenikmatan tersebut dapat dikecapi rakyat Malaysia kerana wujud perpaduan ekoran dasar kerajaan serta kemampuan Barisan Nasional mengurus tadbir ekonomi dengan baik.

"Suku pertama tahun ini kita mencapai kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.7 peratus. Ia satu pencapaian yang menentang arus ekonomi kerana dunia sekarang dilanda kelembapan ekonomi tetapi kita berjaya mengurus negara dengan baik," jelasnya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyampaikan sumbangan RM39,000 kepada 1,300 kumpulan sasar kementerian itu yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta golongan miskin.

Selain itu, Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan baju raya kepada 280 kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment