My Add

Sunday, 26 August 2012

Rohingya: Malaysia perlu guna pendekatan diplomasi

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Ogos, 2012: Malaysia dicadang supaya menggunakan pendekatan diplomasi untuk memujuk Myanmar menghentikan penindasan dan penghapusan etnik minoriti Rohingya di negara itu.

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), Dr Chandra Muzaffar ketika membuat gesaan itu berkata, Malaysia dilihat boleh memainkan peranannya dengan berkesan kerana ia antara negara anggota Asean yang menyokong kuat serta memudahkan kemasukan Myanmar ke dalam blok negara Asia Tenggara itu.

"Dan sebab itulah kita sebagai jiran dan kawan harus memujuk kerajaan Myanmar untuk bertindak adil dalam isu etnik Rohingya ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Kuala Lumpur serta negara anggota Asean yang lain perlu sama-sama memastikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan oleh kerajaan Myanmar adalah telus serta bebas bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

Selain itu, Chandra berkata Malaysia juga perlu terus berinteraksi dengan Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan untuk memastikan keganasan etnik di wilayah Rakhine dapat dihentikan.

"Beliau (Surin Pitsuwan) semestinya faham tentang apa yang berlaku kerana dia juga adalah dari masyarakat minoriti di Thailand," katanya.

Katanya selain usaha diplomasi melalui Asean, Malaysia juga boleh membantu dari segi kewangan seperti mengumpul dana untuk mangsa penindasan etnik di wilayah Rakhine dan kawasan lain yang terbabit dengan konflik itu. 

"Bantuan dari segi kewangan, perubatan dan makanan amat diperlukan dan ia perlu disalurkan melalui saluran yang sahih supaya sampai kepada etnik itu," katanya.

Chandra berkata negara anggota Asean juga harus mengambil kesempatan untuk menyuarakan isu penghapusan etnik Rohingya pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos ini di Tehran, Iran.

Walaupun ada isu besar lain seperti Iran, Syria dan Palestin tapi anggota Asean yang hadir mungkin boleh menyuarakan pendirian agar satu resolusi dapat diluluskan, kata Chandra. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment