My Add

Wednesday 22 August 2012

Royalti: Musa yakin PM 'sedia dengar suara Sabah'

  Musa Aman
PAPAR, SELASA, 21 Ogos, 2012: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman percaya isu penyemakan semula royalti minyak sebanyak lima peratus yang dibayar kepada Sabah adalah terbuka untuk dibincangkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat secara baik.

Menurut Bernama, Musa berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang amat prihatin dan sedia mendengar suara dan keperluan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan juga terbukti memberi manfaat kepada rakyat Sabah melalui pemberian peruntukan yang besar yang banyak membantu menjana sosioekonomi selain memacu kemajuan negeri ini.

"Oleh itu, saya percaya isu (royalti minyak) terbuka untuk dibincangkan dan apa yang penting ialah kita bincang dengan membuat kajian untuk kita perhalusi dan seterusnya mengambil keputusan yang terbaik demi kepentingan semua pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka bahagian Umno Papar yang dihoskan bersama Anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan dan Adun Pantai Manis Datuk Rahim Ismail di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri itu akan berbincang dengan Kerajaan Pusat mengenai keperluan untuk menyemak semula kadar semasa lima peratus royalti petroleum yang dibayar kepada Sarawak berdasarkan hubungan rapat sedia ada antara kedua-dua pihak.

Sambil bersetuju bahawa pemimpin negeri daripada pihak kerajaan dan pembangkang di negeri itu mencapai kesepakatan berhubung isu itu, Taib berkata, kedua-dua pihak perlu duduk berbincang mengenainya.

Awal bulan ini, Najib mengumumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan jawatankuasa itu diberi enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan pusat, yang akan menamatkan segala persoalan yang menyelubungi isu pembayaran royalti.

No comments:

Post a Comment