My Add

Saturday 11 August 2012

Sarawak minta kelonggaran susun program pendidikan sendiri


*ABDUL Taib Mahmud mendengar penerangan Penolong Pegawai Pertanian Sarawak, Hamzah Abu Bakar (dua dari kanan) ketika melawat pameran unit pembangunan usahawan Bumiputera pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan Roadmap 2.0 di Kuching, Sarawak, semalam. Turut hadir, Idris Jala (tiga dari kanan) dan Alfred Jabu Numpang (kanan).

KUCHING, JUMAAT, 10 Ogos Kerajaan negeri memohon supaya diberi kelonggaran untuk menyusun program pendidikannya sendiri apabila inisiatif baru pelan kedua Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan tahun depan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, program pendidikan tersebut akan memberi tumpuan kepada bidang teknikal dan industri untuk disesuaikan dengan pelan pembangunan di seluruh negeri terutama di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Kita memerlukan satu program transformasi pendidikan menjurus kepada bidang teknikal dan perindustrian bagi memenuhi keperluan di wilayah SCORE.

"Justeru, menerusi GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan tahun depan, kita memohon supaya diberi kelonggaran untuk menyusun pendidikan sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) Roadmap 2.0, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Hari Terbuka GTP Roadmap 2.0 yang dianjurkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) bertujuan membolehkan orang ramai di negeri ini menyuarakan maklum balas dan cadangan mengenai pelaksanaan GTP.

Program tersebut merupakan yang kedua seumpamanya selepas edisi pertama berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 24 Julai lalu.

Abdul Taib berkata, seiring dengan pelaksanaan GTP di seluruh negara, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif bagi menambah baik mutu perkhidmatan awam di Sarawak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment