My Add

Tuesday, 7 August 2012

'Saya paling hebat'



LONDON, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Usain Bolt mencapai impian untuk menjadi legenda sukan apabila melakar masa kedua terpantas yang pernah dicatat oleh manusia dalam acara 100 meter iaitu 9.63 saat, ketika memenangi dua emas Olimpik berturut-turut dalam acara pecut Olimpik 2012, semalam.

Buat masa ini kepantasan rekod Dunia 9.58s yang dicatatkan oleh Bolt pada kejohanan Dunia 2009, merupakan masa terpantas di dunia.

Kemenangan Bolt semalam menghilangkan segala keraguan terhadap masalah prestasi dan kecederaan yang dialaminya pada perlumbaan yang paling dinanti-nantikan dalam sejarah acara 100m.

Juara Dunia Yohan Blake menjadikan kemenangan 1-2 buat Jamaica apabila meraih pingat perak dengan masa 9.75s dan juara Sukan Olimpik 2004, Justin Gatlin dari AS meraih gangsa dengan masa 9.79s, apabila semua tujuh pelari acara akhir semalam mencatat bawah 10 saat.

Asafa Powell menarik diri akibat kecederaan di penghujung saingan, yang merencatkan hajat Jamaica untuk menyapu bersih semua pingat.

Tyson Gay menamatkan saingan di tempat keempat ketika mencatat masa peribadi terbaiknya iaitu 9.80s manakala pelari senegara dari AS, Ryan Bailey kelima (9.88s).

Namun perlumbaan semalam semuanya mengenai Bolt, yang berulang kali menyatakan dia perlukan ‘pingat emas berturut-turut’ demi mengesahkan statusnya sebagai legenda sukan.

Dia kini sebaris dengan Carl Lewis sebagai atlet tunggal yang memenangi dua pingat emas Olimpik acara 100m.

“Sesetengah daripada anda amat meragui kemampuan saya. Kini saya telah membuktikan kepada dunia bahawa saya adalah yang terhebat. Ini bermakna saya semakin hampir untuk menjadi legenda," kata Usain kepada wartawan.

Mengulas kemenangannya, Usain berkata, selepas saringan separuh akhir, dia amat yakin kerana kakinya tiada masalah.

“Saya tidak ingat bahawa saya berlari untuk mengatasi kepantasan sendiri sehinggalah pada 30 meter terakhir, Ketika itu saya sudah terbayangkan rekod dunia.

“Apabila melintasi garisan penamat dan melihat papan catatan masa, ia sudah terlewat untuk saya melakukan apa-apa. Ia cuma masa kedua terpantas di dunia, jadi saya gembira," kata Bolt.

Dibatalkan penyertaan kerana melakukan kesalahan ketika hendak memulakan perlumbaan pada final 100m di kejohanan Dunia tahun lalu, Bolt tidak rela mengambil risiko ia berulang lagi dan dia ternyata terlalu pantas untuk pencabarnya terutama pada beberapa meter terakhir.

“Saya memang gementar sebelum ke trek namun sebaik sahaja nama saya diumumkan, semua rasa cemas akhirnya hilang," katanya. - REUTERS

No comments:

Post a Comment