PDRM melalui laman Facebooknya, berkata sebaran mengenai lokasi pemasangan kamera perangkap had laju menerusi laman sosial tersebut adalah tidak benar.
Menurutnya, ini kerana PDRM tidak meletakkan secara tetap kamera perangkap had laju di jalan raya di seluruh negara.
"Sehubungan itu, polis menasihatkan supaya orang ramai tidak mudah mempercayai maklumat yang disebarkan melalui blog dan Facebook," demikian menurut laman Facebook berkenaan.
Dakwaan tersebut mula tersebar di laman-laman sosial berkenaan dua hari sebelum pelancaran 'Op Selamat' sempena musim perayaan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada 10 Ogos lalu.
Antara lain, sebaran di Facebook bertajuk 'Lokasi Perangkap Had Laju Sempena Aidilfitri 2012 PLUS' itu mendakwa terdapat sebanyak 40 lokasi perangkap had laju membabitkan laluan di Lebuhraya Utara-Selatan.
Jumlah itu termasuk lima lokasi di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), empat di Lebuhraya ELITE dan tiga di Lebuhraya Kesas.
Kira-kira 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas sepanjang Op Selamat yang akan berakhir Jumaat depan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment