My Add

Saturday 18 August 2012

Stadium Badminton Punch Gunalan

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Ogos, 2012: Parti Progresif Penduduk (PPP) mencadangkan Stadium Badminton Cheras di sini dinamakan sebagai Stadium Badminton Punch Gunalan.

Presiden PPP, Datuk Seri M Kayveas berkata langkah itu sebagai menghargai jasa besar mendiang lagenda badminton negara itu terhadap pembangunan sukan itu di dalam negara dan antarabangsa. 

"Parti mengiktiraf sumbangan besar mendiang Datuk Punch Gunalan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan 1,000 Jalur Gemilang secara percuma kepada orang ramai di Sentul Pasar di sini hari ini.

Gunalan, 68, meninggal dunia akibat barah pada Rabu lalu di Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya.

Mendiang sudah mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan antarabangsa berprestij seperti All England,

Beliau dipilih sebagai Olahragawan pada 1969 dan 1974 sebelum menjadi jurulatih badminton negara dan membimbing pasukan negara untuk memenangi Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

Gunalan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Kehormat Persekutuan Badminton Asia (ABC) dan Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dari 2004 hingga 2008. 

Beliau dilantik Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, jawatan terakhirnya dengan badan itu, pada 2005.

Mengenai program pengagihan Jalur Gemilang itu, Kayveas berkata ia bertujuan memupuk semangat patriotisme di kalangan orang ramai, sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-55.

"Kita, sebagai rakyat Malaysia, patut berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang, bukan saja sepanjang bulan sambutan kemerdekaan (Malaysia) tetapi juga sebagai melambangkan semangat patriotisme kita," katanya kepada pemberita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment