My Add

Wednesday 22 August 2012

Semua imam, pengerusi JKKK berpeluang tunai haji

KUALA TERENGGANU, SELASA, 21 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa semua imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara bakal mendapat peluang menunaikan haji selagi beliau memimpin kerajaan.

Jaminan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah yang memaklumkan, mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan berpeluang ke Mekah di bawah tajaan Program Khas Haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, pada tahun lalu, seramai 111 orang imam dan pengerusi JKKK telah mengerjakan haji manakala manakala tahun ini seramai 400 orang telah menerima tawaran yang sama.

"Perdana Menteri sudah memberi jaminan kepada saya, imam dan pengerusi JKKK yang belum pernah menunaikan haji dan tidak berkemampuan akan berpeluang untuk disenaraikan di bawah program itu.

"Ia bagi menghargai jasa dan peranan serta sumbangan para imam dan pengerusi JKKK yang juga merupakan ketua kepada masyarakat kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan surat tawaran mengerjakan haji kepada imam dan pengerusi JKKK sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Darat, Batu Rakit dekat sini hari ini.

Kesemua mereka bakal dirai dalam satu majlis khas di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 27 Ogos ini.

Dalam pada itu, Jailani memberitahu, dianggarkan seramai 8,000 orang imam daripada 14,600 orang imam di seluruh negara belum menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menjangkakan lebih banyak kuota akan diberikan kepada golongan berkenaan pada masa depan.

"Kita jangka untuk tahun ini atau penggal seterusnya, mungkin kuota akan bertambah kepada 500 sehingga 800 penerima bagi membolehkan mereka menunaikan fardu ain itu.

"Pada tahun ini, sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan untuk program ini merangkumi kos penginapan, makan dan minum serta tiket penerbangan jemaah, malah kita juga merancang untuk memberi duit poket," jelasnya.

Tambahnya, kesemua jemaah haji berkenaan akan berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 September ini dan akan berada di tanah suci selama 47 hari.

Sementara itu, beliau berkata, kuota haji bagi membawa jemaah berkenaan tidak mengganggu kuota haji di bawah Tabung Haji kerana ia adalah permohonan rasmi Perdana Menteri kepada kerajaan Arab Saudi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment