My Add

Friday 17 August 2012

Tokoh Seni Dondang Sayang, Nyonya Tan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Tokoh seni Dondang Sayang, Nyonya Tan Abdullah meninggal dunia awal pagi ini selepas bertarung dengan penyakit.

Menurut kenyataan Jabatan Warisan Negara, tokoh seni itu meninggal dunia pada pukul 1 pagi tadi di Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka pada usia 62 tahun.

Berketurunan peranakan baba nyonya, Nyonya Tan bergiat aktif dalam seni Dondang Sayang selama lebih 40 tahun dan pernah merakamkan tiga buah album.

Beliau juga pernah membuat persembahan di Paris di bawah panji Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sempena pengisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Kegigihannya memperjuangkan seni budaya telah diberi penghormatan dan diangkat sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup pada 10 Mei lepas.

Antara anugerah yang pernah beliau peroleh adalah Johan Pesta Dendang Rakyat 1976, Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M), Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka dan Anugerah Artis Sepanjang Zaman bagi kategori Dondang Sayang pada 2006 oleh Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (Papita).

Jenazah Nyonya Tan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakar Batu, Bachang di pada jam 11 pagi ini selepas disembahyangkan di rumahnya di Taman Rumpun Bahagia.  

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hadir menziarahi keluarga Allahyarhamah.

Anak perempuan Allahyarhamah, Hidayu Murni Abu Hussain, 27, berkata ibunya dimasukkan ke Hospital Pantai di sini selepas mengadu sesak nafas pada jam 3 petang Jumaat lalu.

"Ibu diberi bantuan pernafasan selama berada di hospital sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi tadi akibat paru-paru berair," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Allahyarhamah meninggal dunia di hospital berkenaan jam 1 pagi ini pada usia 62 tahun.

Berketurunan peranakan baba nyonya, Nyonya Tan bergiat aktif dalam seni Dondang Sayang selama lebih 40 tahun dan merakamkan tiga buah album serta pernah membuat persembahan di Paris di bawah panji Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sempena pengisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment