My Add

Friday 24 August 2012

Warga Malaysia diculik di Nigeria bebas

  George Lipih Ambo.
   - Foto ihsan perisikrimba
SHAH ALAM, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Seorang rakyat Malaysia yang diculik di Nigeria sejak 4 Ogos lalu telah dibebaskan "dalam keadaan selamat" dan kerajaan menyampaikan penghargaan kepada pihak berkuasa negara Afrika itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Wisma Putra berkata, Putrajaya juga melahirkan penghargaan kepada Sea Trucks Group, majikan George Lipih Ambo, 42, yang diculik, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Biro Aduan Awam Pemuda Umno.

Kenyataan itu menambah, Lipih dan tiga rakannya, masing-masing dari Indonesia, Iran dan Thailand dibebaskan pada lewat malam 22 Ogos (waktu tempatan).

"Mereka telah dibawa ke hospital di Port Harcourt, Lagos untuk pemeriksaan kesihatan yang dijangka akan mengambil masa beberapa hari sebelum mereka dibenarkan pulang ke negara masing-masing," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, berita pembebasan George yang berasal dari Sri Aman, Serawak, telah dimaklumkan kepada keluarganya oleh pihak syarikat Sea Trucks Group dan dijangka pulang ke Malaysia setelah urusan pemeriksaan kesihatan selesai.

Dia yang berasal dari Sri Aman, Sarawak dijangka pulang ke tanah air esok.

Sea Trucks Group dipetik BBC berkata, keempat-empat mangsa berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun ia tidak menyebut sama ada wang tebusan dibayar bagi membolehkan mereka dibebaskan, lapor BBC.

Kata laporan itu, masih belum jelas bagaimana kesemua mangsa diselamatkan.

Pada 14 Ogos lalu, laporan Bernama menyebut rakyat Malaysia yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata api di Teluk Guinea berada dalam keadaan selamat.

Mengikut laporan itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, keadaan Lipih Ambo diperoleh hasil komunikasi melalui pihak ketiga.

Katanya, Biro Aduan secara proaktif sejak 6 Ogos lepas berjaya berkomunikasi dengan pihak ketiga di Lagos, Nigeria yang bertindak sebagai pemudahcara perhubungan dengan kumpulan lanun terbabit dan jaminan telah diberikan kumpulan itu bahawa mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak dicederakan.

Sekumpulan lanun Nigeria lengkap bersenjata telah menyerang dan merampas sebuah kapal milik syarikat Belanda, Sea Trucks Group.

Kejadiaan yang berlaku 35 batu nautika dari persisiran Nigeria, Teluk Guinea turut meragut dua kelasi kapal warga Nigeria.

BBC yang memetik AFP berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai pembebasan mereka.

"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan dan kami sangat lega (dengan perkembangan ini)," kata Corrie van Kessel dari Sea Trucks Group yang berada di Belanda.

Jurucakap tentera laut Nigeria, Kabir Aliyu memberitahu Reuters bahawa mereka dibebaskan oleh lanun pagi semalam.

Mengikut laporan sebelum ini, Lipih pernah diserang di atas kapal syarikat yang sama di perairan sama oleh sekumpulan lanun tahun lepas.

Bagaimanapun serangan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Menurut isteri Lipih sebelum ini, Bibi Suntek, suaminya dijadual pulang ke tanah air awal Oktober ini selepas tiga bulan berada di atas kapal.

"Kali terakhir suami hubungi saya ialah seminggu sebelum kejadian dan saya tidak sangka perkara ini akan berlaku kepadanya," kata beliau. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment