Bajet 2013 iktiraf peranan polis - Hishammuddin
KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Kementerian Dalam Negeri berpuas hati dengan pembentangan Bajet 2013 yang mengiktiraf peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menurunkan kadar jenayah di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peningkatan peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah kepada RM240 juta membuktikan kesungguhan, komitmen serta keprihatinan kerajaan memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selamat.
Pada masa sama, beliau juga berbangga apabila buat pertama kalinya dalam pembentangan bajet, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penambahan anggota PDRM selepas kali terakhir pengambilan besar-besaran anggota pasukan keselamatan itu dibuat pada 1969.
Katanya, penambahan anggota PDRM itu amat penting memandangkan jumlah anggota tersebut yang kurang berbanding jumlah rakyat dengan nisbah satu anggota kepada 257 penduduk.
"Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah tepat melibatkan penyertaan anggota masyarakat dalam agenda memerangi jenayah dengan penambahan 10,000 anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) dengan peruntukan berjumlah RM70 juta serta mempertingkatkan peranan Kelab Rukun Tetangga dalam membantu menjaga keselamatan di kawasan perumahan.
"Kerajaan juga membuat keputusan betul apabila memberi geran RM10,000 kepada persatuan penduduk berdaftar bagi menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan serta subsidi khusus perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan oleh pihak syarikat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, Bajet 2013 juga memberi perhatian khusus kepada kebajikan anggota PDRM menerusi pengenalan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok termasuk kajian komprehensif terhadap usaha menambah baik laluan kerjaya warga PDRM secara keseluruhannya.
"Selain itu, langkah kerajaan menyediakan peruntukan RM20 juta untuk penubuhan Unit Rondaan Bermotosikal termasuk penyediaan 1,000 motosikal bagi tujuan rondaan dan pemantauan juga adalah selari dengan fasa kedua NKRA yang memfokus kepada jenayah pecah rumah," jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Beaufort, Sabah, Hishammuddin memberitahu, pasukan simpanan keselamatan tersebut akan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta untuk pembinaan Pusat Khidmat Komuniti Rela di Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.
Katanya, peruntukan sebanyak RM90 juta untuk penyediaan uniform kepada 300,000 anggota Rela di seluruh negara turut disediakan selain RM74.2 juta sebagai belanja mengurus.
"Dalam pada itu, kadar elaun untuk pegawai dan anggota Rela juga dinaikkan bermula 1 Februari lalu iaitu RM7.80 sejam untuk pegawai dan RM6.00 sejam untuk anggota lain-lain pangkat.
"Kerajaan juga bersetuju menyediakan perkhidmatan insurans perlindungan kemalangan diri kepada anggota Rela bermula 5 September lalu hingga 4 September 2014," katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu merangkumi kematian ketika bertugas, hilang upaya menyeluruh kekal semasa bertugas, hilang upaya separa kekal sementara semasa bertugas, perbelanjaan perubatan, elaun hospital, alat ganti palsu, dan khairat kematian. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment