SIBU, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Seorang bekas eksekutif di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarikei dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM1,000 daripada seorang petani, tahun lalu.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid juga memerintahkan tertuduh, Showpi Hashim, 48, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda terbabit.
Showpi didakwa menerima RM1,000 daripada Gon anak Anggun, sebagai habuan mempercepatkan proses Tuntutan Pencen Penakat atas kematian anaknya Jolly.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kenderaan pejabat yang dinaikinya di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) di bandar Sarikei, pada jam 1.20 tengah hari, 25 Februari 2011.
Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi.
Mengikut fakta kes, pada 13 Januari 2011, Gon menemui Showpi di pejabatnya bagi membuat tuntutan Perkeso dan tertuduh bersedia membantu mempercepatkan proses dengan syarat memerlukan bayaran.
Seminggu kemudian, Gon sekali lagi berjumpa dengan tertuduh yang meminta bayaran RM500 untuk memproses kos tuntutan pengebumian dan pada ketika itu meminta komisen 10 peratus selepas permohonan tuntutan pencen penakat dilulus dan cek dikeluarkan.
Pada 28 Januari, 2011, Gon membuat aduan di pejabat SPRM Sibu mengenai bayaran yang diminta oleh Showpi.
Pada 23 Februari 2011, satu cek bernilai RM6,089.58 dimasukkan ke akaun Gon di Bank Simpanan Nasional (BSN) manakala satu lagi cek bernilai RM2,435.76 dimasukkan ke akaun isterinya, Melentan anak Gani, di bank yang sama.
Pada hari berikutnya, Showpi menghubungi Gon bagi meminta komisen 10 peratus dan sehari selepas itu pegawai SPRM memasang perangkap dengan merakamkan perbualan antara tertuduh dengan Gon.
Pegawai SPRM kemudian menahan Showpi sebaik sahaja menerima 10 keping duit RM100 daripada Gon dalam kenderaan rasmi tertuduh.
Peguam tertuduh, Louis Jarrau, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, yang mempunyai dua orang anak dan berkhidmat dengan Perkeso sejak 1987, akan hilang kerja sekiranya disabit kesalahan.
"Dia amat menyesal perbuatannya dan kini mengusahakan sebuah gerai makan di Kuching bagi menyara hidupnya," katanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Othman Anyan daripada SPRM. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment