*NAJIB Tun Razak, Koh Tsu Koon dan para pemimpin Gerakan menyanyikan lagu Satu Hati selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur, semalam. |
Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, dengan kerusi Parlimen Gerik akan dipulangkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-13, tumpuan kini terarah kepada kerusi Parlimen Taiping yang juga merupakan kawasan tradisi Gerakan.
"Selain Taiping yang jatuh ke tangan pembangkang selepas PPP tewas, kita juga akan memberi tumpuan kepada Beruas yang kita tewas dengan majoriti kecil selain mempertahankan Simpang Renggam.
"Masih ada tiga atau empat kerusi Parlimen yang kita sedang perincikan strategi untuk mendapatkannya, namun butirannya tidak dapat saya berikan buat masa ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di sini hari ini. Persidangan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Gerakan bertanding di 13 kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Tsu Koon, bagi kerusi DUN pula parti itu kita akan turun ke setiap negeri dan membuat pusingan terakhir penilaian sebelum menetapkan keputusan.
Berhubung kerusi DUN di Pulau Pinang pula, Tsu Koon berkata, Gerakan akan bertanding di 13 kawasan di bawah teraju Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.
"Kita mempunyai beberapa sasaran dan biarlah BN Pulau Pinang di bawah Chang Yeow menentukan perkara itu apabila tiba masanya, kita tidak boleh dedahkannya sekarang, anda boleh tanya Chang Yeow di Pulau Pinang nanti dan saya jamin dia tidak akan mengugut untuk saman anda," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya, Tsu Koon berkata, usaha 'membaharukan' Gerakan dijalankan secara berterusan dan partinya mengiktiraf peranan orang muda.
"Gerakan adalah parti yang terbuka, malah kita juga menggalakkan lebih ramai anak muda menyertainya," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment