Anifah Aman |
Merujuk kekecohan baru-baru ini disebabkan penyiaran filem 'Innocence of Muslims' yang menghina agama Islam, beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dipertahankan di bawah alasan hak asasi manusia, kemerdekaan dan kebebasan.
"Satu garis pemisah harus diwujudkan apabila kesan yang memudaratkan mengatasi perkara lain. Malaysia sentiasa mengekalkan kebebasan tersebut, yang perlu diiringi dengan tanggungjawab," katanya pada sesi perdebatan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-67 New York, semalam.
Ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.
Tema UNGA tahun ini ialah 'Bringing about Adjustment or Settlement of International Disputes or Situations by Peaceful Means'.
Mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang sengaja menghasut bagi membangkitkan kebencian, Anifah berkata Malaysia turut bersedih dengan tindak balas ganas yang tercetus.
Beliau berkata penggunaan keganasan bagi meluahkan kemarahan hanya akan mengakibatkan jurang lebih luas, lebih banyak kerosakan dan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.
"Oleh itu, adalah penting untuk kita terus mengamalkan kesederhanaan bagi berdepan dengan peningkatan ekstremisme. Kesederhanaan adalah respons terbaik untuk mengatasi ekstremisme," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anifah berkata Malaysia mengutuk pembunuhan kejam dan sia-sia yang terus berlaku di Syria dan berharap tindakan lanjut akan diambil bagi membantu negara itu demi kepentingan rakyatnya.
Beliau turut menggesa Israel agar menghentikan aktiviti penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
"Kami amat bimbang dengan ancaman untuk menyerang dan membahagikan tapak Masjid Al-Aqsa, yang menyaksikan pelanggaran kewajipan Israel sebagai kuasa yang menduduki," katanya.
Anifah turut menggesa Majlis Keselamatan PBB melakukan transformasi bagi menangani banyak cabaran yang dihadapi komuniti antarabangsa.
Katanya, komposisi majlis itu perlu mencerminkan realiti global semasa selain menjadi lebih demokratik dan bertanggungjawab bagi memenuhi mandatnya dalam mengekalkan keamanan serta keselamatan antarabangsa dengan berkesan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment