My Add

Monday, 1 October 2012

Kabinet bayangan: Pakatan dakwa Najib 'double standard'

JAMILAH HAMZAH
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar perikatan itu mengumumkan Kabinet bayangan terlebih dahulu menunjukkan sikap "double standard" beliau.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Kabinet bayangan yang dibangkitkan Najib semalam menunjukkan Barisan Nasional seolah-olah "cakap tak serupa bikin."

Menurutnya, PR tidak gila kuasa sehingga memerlukan ia memperkenalkan Kabinet bayangan, sebaliknya kebajikan rakyat lebih diutamakan.

"Ini adalah kita tak gila kuasa, kita gila jawatan, apa yang lebih penting adalah dasar-dasar yang memberi kebaikan pada rakyat.

"Kalau kita mesti perlu ada Kabinat bayangan, baru boleh jadi kerajaan, kita nak tanya mana Exco bayangan di Kelantan, Kedah dan paling teruk calon Menteri Besar di Kelantan pun tak ada.

"Adakah Perdana Menteri cakap tak serupa bikin, kenapa beliau lakukannya, beliau tak harus belitkan isu dan jadikannya 'double standard'," katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen hari ini, lapor Sinar Harian.

Semalam, Najib mencabar PR menubuhkan Kabinet bayangan sebelum berangan-angan menubuhkan kerajaan sebenar dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, sehingga kini janji PR mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri.

"Jangan mahu tubuhkan kerajaan, tubuhkan dahulu Kabinet bayangan itu. Tetapi tidak ada kerana apa?

"Kerana takut mahu bagi jawatan apa kepada (Penasihat DAP) Lim Kit Siang, (Presiden Pas, Datuk Seri) Haji Hadi (Awang) dan (Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu) Mat Sabu. Menteri Kewangan (atau) Pendidikan?" katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional 2012, semalam.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, untuk mempamerkan Kabinet bayangan, negara perlu matang dalam prinsip demokrasi.

Katanya, Malaysia masih melangkah untuk ke arah demokrasi yang matang dan herdikan Najib itu tidak munasabah.

"Kita baru nak belajar jadi politik dan demokrasi matang, jadi sudah tentulah ciri-ciri kematangan itu mestilah ada Kabinet bayangan.

"Belum sempat, belum boleh kita utarakan, jadi kalaulah kami diherdik dengan perkara itu, maksudnya belum ada kematangan dalam demokrasi," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment