My Add

Tuesday 2 October 2012

Kadar faedah 7.5 peratus konsisten dengan penilaian JPPH

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Kadar faedah 7.5 peratus yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) adalah konsisten dengan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta (JPPH).

Pengarah Eksekutif firma perakaunan BDO Chartered, Mok Chew Yin juga berkata, nilaian pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik KDSB bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) tidak termasuk kadar faedah sama ada enam peratus ataupun 7.5 peratus.

Kesimpulan itu dibuat oleh Chew Yin yang merupakan saksi pakar yang memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, harga pembayaran balik tanah tersebut pada kadar RM25 skp adalah untuk tempoh 10 tahun manakala RM25.82 skp membabitkan pembayaran balik selama 15 tahun.

Perkara itu menurut Chew Yin, seperti yang tertera dalam surat JPPH bertarikh 29 September 2000 dan 9 Oktober 2000.

Beliau sekali lagi menegaskan, harga pembayaran balik itu tidak termasuk kadar faedah sebanyak enam peratus.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, harga tunai bagi keseluruhan pembayaran balik adalah berjumlah RM1.808 bilion seperti yang dicatatkan dalam perjanjian jual beli dan konsisten dengan nilai khas sebanyak RM21 skp yang dinyatakan dalam surat JPPH bertarikh 29 September 2000.

''Seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam surat JPPH bertarikh 29 September 2000, harga akan lebih tinggi jika bayaran dibuat dalam tempoh masa yang panjang,'' ujar beliau.

Dalam keterangannya, Chew Yin juga berkata, beliau bersetuju dengan pengiraan oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Penilaian JPPH, Datuk Mani Usilapan, 61, yang konsisten dengan pengiraan beliau berdasarkan RM25 skp.

Liong Sik, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah tersebut membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu bersambung Khamis ini. - UTUSAN 


No comments:

Post a Comment