My Add

Tuesday 2 October 2012

Kemasukan penuntut asing diperketat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Kerajaan memperketatkan kemasukan penuntut luar negara untuk melanjutkan pengajian di Malaysia bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan membiayai pengajian mereka di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan menitikberatkan kemasukan penuntut-penuntut yang ditaja oleh kerajaan mereka danorganisasi-organisasi antarabangsa kerana mereka telah dinilai dan kemungkinan untuk menimbulkan masalah dari segi undang-undang adalah tipis.

‘‘Lazimnya jika mereka penuntut yang ditaja, mereka telah dinilai dan ditemuramah oleh pegawai berkaitan dan pasti terdiri daripada pelajar yang baik.

‘‘Oleh itu penuntut-penuntut yang ditaja berkemungkinan besar tidak akan menimbulkan apa-apa masalah dari segi undang-undang," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) mengenai kaedah Kementerian Pengajian Tinggi dalam memastikan pelajar-pelajar asing benar-benar layak dan mampu membiayai pengajian mereka di Malaysia.

Tambah Saifuddin, kerajaan turut memberi tumpuan mendapatkan penuntut daripada negara-negara maju bagi meningkatkan daya saing di antara pelajar-pelajar asing dan tempatan.

Beliau berkata, kerajaan bukan sekadar mengejar angka penuntut antarabangsa yang ramai tetapi angka itu perlu datang dari negara-negara maju.

‘‘Kemasukan penuntut-penuntut dari negara maju sangat sedikit. Sebagai contoh Australia, penuntut kita ke sana mencecah 20,000 orang tetapi pelajar mereka di negara ini tidak sampai 200 orang," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai kriteria bangunan dan mutu pendidikan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selain keberkesanan kawalannya termasuk sebuah kolej swasta di Vista Magna, Kepong yang menjadikan tempat-tempat bukan kelas sebagai kelas, Saifuddin menjelaskan, pihaknya telah membuat lawatan pemeriksaan ke atas IPTS tersebut pada 30 Julai lalu.

Menurut beliau, pihaknya mendapati pihak institusi menggunakan premis tambahan yang belum berdaftar dan telah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan kesalahan yang boleh dikenakan mengikut Seksyen 78, Akta 555.

‘‘Sebanyak 26 IPTS telah dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM260,000 pada 2012 atas kesalahan berkaitan premis," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment