My Add

Monday 1 October 2012

Kaedah rebat RM200 bagi telefon bimbit 3G sedang dikaji - Rais

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang menyiapkan jadual dan kaedah bagi membolehkan generasi muda mendapatkan rebat RM200 untuk membeli telefon bimbit 3G yang diperuntukkan menerusi Bajet 2013.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jadual dan kaedah tersebut dibuat bagi memastikan golongan sasaran mendapat rebat itu bermula 1 Januari tahun hadapan.

"Selain rebat ini, sebanyak 100 pusat jalur lebar internet di seluruh negara juga akan dibina bukan sahaja di kampung, malah, di pekan atau di kawasan yang didiami rakyat miskin seperti di flat-flat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perlawanan Badminton Persahabatan antara pasukan D'Sury dan Jabatan Muzium Malaysia di sini hari ini.

Rais mengulas tentang Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat lalu yang meliputi pelbagai manfaat kepada rakyat pelbagai peringkat umur dan masyarakat.

Dalam pada itu, Rais menegaskan, pembangkang bebas mengkritik Bajet 2013, namun kerajaan akan memastikan apa yang dijanjikan menerusi bajet berkenaan ditunaikan.

"Bajet 2013 yang dibentangkan Najib menunjukkan daripada mana wang diperoleh dan formulanya berbanding bajet alternatif pembangkang yang tidak menjelaskan sumbernya.

"Mereka hanya mahu menghapuskan beberapa perkara agar dapat menarik pengundi. Ia hanya bajet retorik, sedap di bibir tetapi tidak boleh dimakan dan jika dimakan akan mati, bermaksud ekonomi dan rakyat akan terjejas," ujarnya.

Pada masa sama, Rais turut mempersoalkan dakwaan pembangkang Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya sedangkan bajet alternatif pembangkang juga mempunyai matlamat sama namun, memberi impak negatif kepada ekonomi negara. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment