My Add

Monday 29 October 2012

Kediaman ibu tunggal musnah dijilat api di Dungun

DUNGUN, ISNIN, 29 Oktober, 2012 Seorang ibu tunggal bersama empat anaknya tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Jalan Yahaya Ahmad, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, ibu tunggal terbabit, Sharifah Sharuan Idrus, 37, ketika itu berada berhampiran rumahnya dan sedang menunggu dijemput majikannya untuk ke tempat kerjanya di Kerteh.

Sharifah Sharuan, yang bekerja sebagai tukang masak berkata, kejadian itu disedari ibunya yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya selepas terdengar bunyi beberapa letupan kecil dari bahagian dapur rumahnya.

"Ketika tengah menunggu, tiba-tiba ibu menjerit kepada saya mengatakan rumah terbakar dan serentak itu saya terfikirkan mengenai anak-anak saya.

"Mujur mereka yang berusia 16 tahun hingga tiga tahun ditinggalkan di rumah nenek mereka dan seorang daripadanya ke sekolah. Cuma saya hanya mampu menangis melihat rumah yang didiami bersama anak musnah sekelip mata," katanya.

Sharifah Sharuan berkata, dia bersama penduduk kampung gagal menyelamatkan sebarang harta bendanya kerana api yang marak sementara menunggu ketibaan bomba dan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pada jam 10.07 pagi dan tiba tiga minit kemudian ke tempat kejadian.

Seramai 11 anggota bersama tiga buah jentera dengan bantuan dari Balai Bomba Paka dikejarkan ke tempat kejadian.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya 30 minit selepas itu dan bomba masih menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment