My Add

Monday 29 October 2012

Tiada Akta Sel Stem ketika ini: Tiong Lai

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 20112:: Kementerian Kesihatan tidak bercadang memperkenalkan Akta Sel Stem pada ketika ini, kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata empat garis panduan yang dikeluarkan kementerian mengenai penyelidikan sel stem adalah memadai untuk bertindak sebagai piawaian yang perlu dipatuhi pengamal dan saintis terbabit dalam penyelidikan dan terapi sel stem untuk memastikan ia tidak membahayakan pesakit.

"Garis panduan itu akan bertindak sebagai rangka kerja bagi penyelidik, pakar klinikal dan syarikat terlibat dalam penyelidikan, ujian klinikal dan penghasilan sel stem.

"Tidak ada akta sel stem di negara ini. Tetapi garis panduan ini sudah memadai untuk menyediakan asas dan etika untuk menjalankan kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Sel Stem Kebangsaan yang julung kali diadakan, di sini hari ini.

Empat garis panduan itu ialah Standard Kebangsaan bagi Terapi Sel Stem Haemopoietik, Standard Kebangsaan Bagi Bank dan Transplan Darah Tali Pusat, Standard Kebangsaan bagi Transplan Sel Stem dan Garis Panduan Mengenai Penyelidikan dan Terapi Sel Stem.

Liow berkata: "Sebelum kami rumuskan garis panduan ini, kami telah menubuhkan jawatankuasa untuk membincangkan butiran penyelidikan mereka. Jawatankuasa ini juga termasuk Jakim dan pegawai agama bagi mendapatkan pandangan mereka."

Katanya terapi berasaskan sel hanya boleh dilakukan bagi ujian klinikal. Sebelum dilakukan ujian klinikal, perlu ada bukti kukuh untuk menunjukkan yang ia selamat, berkualiti dan berkesan.

Sementara itu, Liow berkata terapi sel stem di Malaysia berkembang pesat di hospital kerajaan dan juga hospital universiti dan menurutnya jumlah pesakit menjalani transplan tulang sumsum dan sel stem untuk leukaemia dan tumor semakin meningkat.

Beliau berkata sejumlah 213 transplan sel stem haemopoietik telah dijalankan dan didaftarkan di negara ini, majoritinya membabitkan masalah malignan iaitu leukaemia dan lympfoma.

Ketika ini, Liow berkata terdapat 11 pusat transplan haemopoietik menjalankan transplan sel stem haemopoietik di negara ini, termasuk Ampang Puteri Specialist Hospital, Jabatan Haematologi (Ampang Hospital), Unit Transplan Sel Stem Haemopoietik (Universiti Sains Malaysia Hospital) dan Unit Paediatrik BMT, Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Liow mengumumkan Royal College of Physicians of Ireland (RCPI) bersetuju untuk menerima 80 pelajar setiap tahun, untuk mengikuti Program Latihan Subkepakaran Perubatan.

Beliau berkata RCPI akan menyediakan tempat latihan secara purata untuk dua hingga lima tahun bagi kebanyakan subkepakaran yang ditawarkan, bermula dengan pengambilan pada 2013.

Bidang yang ditawarkan termasuk kardiologi, ubat-ubatan paliatif, endokrinologi, gastroenologi, neurologi, penyakit berjangkit dan ubat-ubatan geriatrik. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment