My Add

Monday 1 October 2012

Kerajaan digesa wujudkan garis panduan guna Baucar Buku 1Malaysia

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan mengenai pembelian bahan bacaan yang dibenarkan menggunakan baucar buku 1Malaysia bagi memastikan ia mempunyai faedah daripada segi akademik.

Setiausaha Agung GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, ini kerana kebanyakan pelajar menggunakan baucar bernilai RM250 itu bagi membeli bahan bacaan ringan termasuk novel percintaan. 

"Masih tiada satu garis panduan mengenai penggunaan baucer buku itu untuk rujukan kedai buku, universiti dan pelajar.

"Pemberian baucer buku ini sangat tepat pada masanya, namun GAGASAN melihat perlu adanya pemantauan terutama dari kedai buku dan pihak universiti supaya pelajar hanya dibenar membeli bahan bacaan ilmiah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Zainal Abidin (Unisza) di Taman Tamadun Islam di sini.

Syed Anuar berkata, kemasukan kedai buku untuk membuat ekspo di dalam universiti juga perlu dipantau bagi memastikan ia hanya dibenar menjual bahan ilmiah untuk kegunaan pelajar membuat rujukan.

Mengulas mengenai program terbaru Gagasan iaitu 'Cakna Orang Muda', Syed Anuar berkata pihaknya akan mendekati golongan belia di institut kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat Mara, Kolej Komuniti dan Kolej Jururawat untuk dibimbing menjadi pemimpin. 

"Ada banyak modul dalam 'Cakna Orang Muda' ini untuk membantu mereka meningkatkan keyakinan diri melalui kepimpinan, kepetahan komunikasi melalui debat dan pidato kerana GAGASAN yakin mereka juga mempunyai keistimewaan tersendiri untuk ditonjolkan.

"Program ini akan dilancarkan akhir bulan ini di Kuala Lumpur dan sekiranya ia menampakkan perkembangan positif, ia akan diperluas ke peringkat negeri pula," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment