My Add

Friday 19 October 2012

Kerajaan terus bela nasib warga ATM - Najib

LUMUT, KHAMIS, 18 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai institusi yang begitu penting dan perlu terus dipertahan serta diperkuat dalam semua dimensi dan aspek.

Perdana Menteri berkata ATM sememangnya banyak berjasa kepada negara, dan untuk itu ia tidak harus dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya.

"Peranan ATM begitu menyerlah, yang terbaharu melibatkan perjanjian damai yang dimeterai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menjurus kepada kewujudan wilayah Bangsamoro," kata beliau pada pertemuan dengan warga Tentera Laut Diraja Malaysia di Pangkalan TUDM di sini.

Beliau menarik perhatian bahawa perjanjian itu memberi kesan amat besar kerana ia menandakan berakhirnya konflik 40 tahun di selatan Filipina dan sekali gus mengembalikan maruah bangsa Moro dan membolehkan mereka mengecapi masa depan lebih baik.

Najib berkata berikutan perkembangan itu, kawasan selatan Filipina berkenaan akan berada dalam keadaan aman dan dapat menikmati pelbagai program pembangunan.

"Maka tak perlulah kita menempatkan aset kita dengan begitu banyak di kawasan tersebut (perairan utara dan timur Sabah) dan ini dapat melegakan tanggunjawab seharian yang perlu dilakukan TLDM," kata Najib yang pernah menerajui Kementerian Pertahanan selama 14 tahun.

Merujuk kepada Belanjawan 2013 yang dibentangkan baru-baru ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia mengandungi pelbagai insentif untuk warga tentera.

"Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat termasuk warga tentera. Bila kita membangun atau hendak menjaga institusi ATM, kita mesti jaga secara komprehensif termasuk kebajikan warga tentera," jelas Najib.

Beliau turut mengingatkan pembangkang supaya tidak menghina dan menabur fitnah terhadap ATM seperti dakwaan kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam.

"Bila dua kapal selam Scorpene didakwa tak boleh menyelam oleh pembangkang, itu adalah salah kerana kemampuan kapal selam (kita) adalah yang terbaik... maklumlah bila dekat pilihan raya ni, dia jadikan itu sebagai modal, bahan politik," katanya.

Najib berkata keputusan pembelian kapal selam itu tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya dibuat selepas penilaian terperinci dijalankan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment