My Add

Monday 29 October 2012

Kes NFC: Ahli perniagaan gagal batalkan lima tuduhan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail gagal untuk mengetepikan dan membatalkan lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Kamardin Hashim turut menolak permohonan Shamsubahrin bagi tujuan yang sama (mengetepikan dan membatalkan) berhubung 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta yang dihadapinya.

Kamardin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding hari ini.

"Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan ini, jadi mahkamah menolak permohonan itu dan mengarahkan perbicaraan kes yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen diteruskan," katanya.

Pada 10 Sept lepas Shamsubahrin memfail permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan dan membatalkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Dalam permohonan itu, pemohon (Shamsubahrin) menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk membuat pembayaran kepada mana-mana pegawai polis seperti mana dinyatakan di dalam pertuduhan yang dihadapinya.

Shamsubahrin menghadapi lima pertuduhan menipu Dr Mohamad Salleh membabitkan RM1.755 juta untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat pihak polis berkaitan NFC.

Shamsubahrin juga menghadapi 17 pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) membabitkan jumlah sama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment