My Add

Monday 29 October 2012

Pandelela, Haziq Olahragawati, Olahragawan SSBJ

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg dan atlet memanah Haziq Kamaruddin dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2012 di sini hari ini.

Kedua-dua Olimpiad itu dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam sukan masing-masing, khususnya pencapaian mewakili Malaysia pada Olimpik Julai lalu selain kutipan emas menerusi Sukan SEA di Indonesia tahun lepas.

Pandelela yang muncul atlet wanita pertama Malaysia meraih gangsa Olimpik bagaimanapun tidak hadir berikutan terlibat dalam kejohanan di luar negara.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Gemilang SSBJ, Haziq, 19, berkata beliau amat bersyukur dengan anugerah itu yang secara tidak langsung membakar semangatnya untuk mempamer prestasi lebih baik.

Meskipun tersingkir awal pada Olimpik lalu, anak muda dari Johor Baharu itu tidak berputus asa dan telah memulakan persiapan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik di Rio de Janeiro 2016.

"Terima kasih pada pihak sekolah yang memilih saya untuk meraih anugerah ini. Fokus saya kini adalah untuk melayakkan diri sekali lagi ke Olimpik, “ kata Haziq.

Majlis itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Olimpik kepada lima pelajar SSBJ iaitu Pandelela, Haziq, Nurul Shafiqah Hashim (memanah), Traisy Vivien Tukiet (terjun) dan Wendy Ng (terjun). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment