My Add

Monday 1 October 2012

Lima hospital dilengkapi peralatan perubatan nuklear

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 OktOBER, 2012: Lima hospital di negara ini dilengkapi kemudahan perubatan nuklear, yang dikenal pasti selamat dan berkesan dalam pemeriksaan dan rawatan pesakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Hospital itu ialah Hospital Pulau Pinang (zon utara), Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya (zon tengah), Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu (zon selatan) dan Hospital Umum Sarawak (zon Sarawak), katanya.

Beliau berkata Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (zon Sabah) juga akan dilengkapi kemudahan teknologi perubatan nuklear dalam rawatan pesakit pada masa akan datang.

"Teknologi perubatan nuklear selaras dengan piawaian dan ketetapan antarabangsa, telah dikenalpasti sebagai satu teknologi yang penting bagi tujuan pengurusan rawatan pesakit," katanya.

Rosnah, yang juga anggota Parlimen Papar, berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) yang ingin tahu sejauh mana kajian keberkesanan penggunaan teknologi perubatan (nuklear) dalam diagnosa dan rawatan perubatan.

Rosnah berkata Malaysia, menerusi Kementerian Kesihatan dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, mendapat bantuan konsultasi daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), terutama bagi tujuan latihan di peringkat antarabangsa dan penyelidikan yang berkaitan.

Secara amnya, bilangan kes yang menggunakan teknologi perubatan nuklear telah meningkat daripada tahun ke tahun, dengan 10,712 kes pada tahun 2010 dan 11,296 kes pada tahun 2011, katanya.

"Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pemeriksaan dan rawatan perubatan menggunakan teknologi perubatan nuklear amat membantu pegawai-pegawai perubatan dan pakar-pakar dalam membuat dignosa dan disusuli dengan kaedah terapi yang sewajarnya," katanya.

Mengenai teknologi perubatan nuklear, Rosnah berkata teknologi itu meliputi tiga bidang iaitu bidang klinikal yang merangkumi aspek diagnostik dan terapeutik, bidang radiofarmasi dan bidang sains fizik.

Beliau berkata teknologi perubatan nuklear juga boleh diguna bagi tujuan pemeriksaan jantung. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment