Menyamar: Bekas pekerja kelab malam dipenjara
SHAH ALAM, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Seorang bekas pekerja kelab malam dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyamar dan menggunakan dokumen palsu, 17 tahun lepas.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Chin Sang, 59, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan peguam Zainal Ithnin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM22,000 ke atas Chin Sang bagi semua pertuduhan.
Bagi dua pertuduhan pertama, Chin Sang didakwa menggunakan identiti palsu sebagai Choo Kwong Chong untuk memperdaya Chui Wing Hoe, 41, sehingga mangsa menyerahkan pinjaman dalam bentuk cek bernilai RM72,000 dan RM100,000 di premis Titan Leasing Sdn. Bhd. Petaling Jaya, antara 9 pagi dan 5 petang pada 4 dan 18 Julai 1995.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment