My Add

Monday 15 October 2012



Mesir tawar peluang pelaburan kepada syarikat Malaysia

*MUSTAPA Mohamed berpeluang mengadakan pertemuan dengan Essam Sharaf (kiri) ketika melawat Kaherah, kelmarin.

Oleh Norlaili Abdul Rahman
KAHERAH, AHAD, 14 Oktober, 2012: Kerajaan Mesir menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat Malaysia terutama dalam bidang pembinaan jalan raya, perumahan, pembangunan bandar baru, tenaga diperbaharui, automotif dan pengurusan sisa pepejal.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara tersebut disampaikan Menteri Pelaburan Mesir, Osama Abdel Moneim Saleh di dalam satu pertemuan di sini.

Menurut beliau, pasca revolusi Mesir menyaksikan negara tersebut komited untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi sekali gus amat memerlukan bantuan Malaysia dari segi kepakaran dan pengetahuan dalam pelbagai sektor.

“Mesir selepas revolusi mempunyai potensi yang sangat besar malah Mesir juga sebuah negara yang berjaya di rantau ini.

“Saya akan menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia melabur di Mesir dalam masa yang sama menjemput syarikat-syarikat Mesir untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka," katanya semasa sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan kerja di sini semalam.

Lawatan kerja selama sehari itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala dan Mustapa berpeluang bertemu empat mata dengan Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf dan para menteri berkaitan ekonomi, selain mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat utama negara tersebut.

Sejak Mei tahun lalu, beberapa projek mega telah diumumkan kerajaan Mesir yang memerlukan pelaburan asing untuk menjayakannya, antaranya pembinaan Pelabuhan Selatan di Pelabuhan Said yang merupakan pembangunan baharu di luar Lembah Nil dan Delta dengan keluasan keseluruhan 144 kilometer persegi.

Selain itu, Mesir juga dalam perancangan untuk membangunkan Upper Egypt yang meliputi bandar kediaman bersepadu yang menempatkan 24,000 unit rumah, tiga pelabuhan kering (dry port) di tiga tempat iaitu Assiut, Sohag dan Qena serta membina kilang menyahgaram air laut menggunakan tenaga solar.

Malah menurut Mustapa, Osama turut melahirkan hasrat untuk meminta Malaysia berkongsi pengetahuan dalam penerbitan sukuk kerana negara tersebut tidak mempunyai kepakaran di dalam pasaran kewangan Islam.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Bank Negara Malaysia bagi membolehkan langkah seterusnya diambil dan dalam pada masa yang sama, Exim Bank yang menyertai misi ini telah bersetuju untuk memberi bantuan yang diperlukan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment