My Add

Monday 29 October 2012


PBRS mahu pertahan kerusi Sook, Pensiangan


KOTA KINABALU. ISNIN, 29 Oktober, 2012: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Sook dan Parlimen Pensiangan, mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, parti itu sedia meletakkan calon yang sesuai dan mana-mana pihak harus menghormatinya atas dasar semangat setiakawan sebagai sebahagian parti komponen BN.

"Kerusi yang kami ada sekarang ini sememangnya kami akan pertahan dan soal siapa calon, kami akan beritahu kemudian.

"Saya pasti kita akan mendapat peluang cerah untuk menghadapi sesiapa sahaja yang bertanding mewakili BN (Sook dan Pensiangan)," katanya selepas menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Rakyat Berjaya Sdn Bhd dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, semua keputusan bagaimanapun terserah kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang mempunyai kriteria bertepatan menghadapi PRU ke-13.

Ketika ini, kerusi kawasan Pensiangan diwakili Kurup sementara DUN Sook oleh Datuk Ellron Angin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment