My Add

Monday 29 October 2012

Puncak Niaga terima Anugerah Socrates

KUALA LUMPUR, 29 Oktober, 2012: Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) dipilih sebagai penerima Anugerah Socrates bersempena Persidangan Pemimpin-pemimpin Oxford dari 25 hingga 27 Oktober lalu di Oxford, United Kingdom.

Anugerah itu disampaikan kepada Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Puncak Niaga Holdings Bhd, Ismail Hashim yang mewakili Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail.

Anugerah Socrates itu mengiktiraf ahli perniagaan elit pada peringkat global yang sentiasa berusaha melalui kaedah dan cara yang tersendiri untuk menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman di kalangan masyarakat antarabangsa dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan kebudayaan.

Penerima anugerah sudah melalui proses pemilihan oleh Jawatankuasa Socrates Antarabangsa yang memilih calon yang paling layak berdasarkan pencapaian profesional yang tinggi dan memberi pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan mereka.

Rozali berkata, anugerah itu membuktikan keupayaan cemerlang PNHB dalam mengurus dan mengendalikan projek bekalan air berskala besar di Malaysia, khususnya di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, anugerah itu juga sebagai menghargai sumbangan PNHB terhadap pembangunan ekonomi di Malaysia dan beberapa negara membangun lain seperti China dan India.

Walaupun PNHB telah beroperasi di negara membangun, kami sesekali tidak akan melupakan peranan utama syarikat dalam membekalkan air bersih ke kawasan Greater Kuala Lumpur yang merangkumi 7.5 juta pengguna, termasuk sektor industri dan komersial, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

PNHB menyediakan khidmat bersepadu dalam bidang air, air sisa dan persekitaran yang unggul di rantau ini serta memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor minyak dan gas.

Kini PNHB terbabit dalam projek berasaskan air di China, India dan beberapa buah negara Asia. - BH

No comments:

Post a Comment