My Add

Sunday 28 October 2012

Rakyat Malaysia dapat latihan pengganas di negara jiran

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Oktober, 2012: Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (gambar) tidak menolak kemungkinan sebilangan rakyat Malaysia yang direkrut oleh gerakan militan antarabangsa Al-Qaeda menerima latihan di sebuah negara jiran.

Beliau berkata, berdasarkan beberapa gerakan militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda beroperasi di negara jiran itu, merupakan salah satu faktor ada segelintir rakyat Malaysia yang direkrut di negara itu.

"Kita tidak boleh menyangkal perkara ini, mungkin mereka dilatih di sebuah negara jiran sebelum menyertai kumpulan militan dan kemungkinan juga mereka dilatih di negara kita... perkara ini kita perlu lakukan siasatan dan kita tidak boleh ramal terlalu awal," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Bernama mengenai penahanan dua rakyat Malaysia, berusia 21 dan 28 tahun, oleh pihak berkuasa Lubnan dipercayai menjadi pengebom berani mati dan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda oleh pihak berkuasa Lubnan.

Zulkifeli berkata kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau aktiviti serta gerakan di Malaysia telah diwujudkan sebelum ini dan ia akan dipertingkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan PDRM dalam perkongsian maklumat risikan dan keselamatan mengenai pergerakan militan di negara kita. Pemantauan ini perlu dipertingkat selepas perkara ini (penahanan dua rakyat Malaysia)," katanya.

Bagaimanapun Zulkifeli berkata, pemantauan pergerakan militan itu adalah di dalam bidang kuasa polis dan tentera sentiasa membantu dalam menyediakan maklumat risikan dalam negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama berkata, satu laporan lengkap oleh pihak berkuasa Lubnan dan pihak kedutaan Malaysia di Lubnan sedang ditunggu oleh pihak polis bagi mengetahui punca sebenar penahanan dua lelaki berkenaan.

"Kita sedang tunggu satu laporan lengkap dari pihak berkuasa Lubnan bagi membolehkan kita menyiasat dan memantau pergerakan militan membabitkan rakyat Malaysia," katanya.

Menurut sumber polis Interpol, kedua lelaki itu dipercayai mendapat latihan daripada seorang lagi rakyat Malaysia, Mustapha Mansour di negara ini pada 2007 untuk dilatih oleh kumpulan militan Al-Qaeda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment