My Add

Monday 29 October 2012

SOP hospital dikaji semula untuk perkhidmatan lebih baik: Rosnah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Kementerian Kesihatan kini di peringkat akhir mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) di setiap hospital di bawah kendaliannya bagi mewujudkan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, cadangan kementerian ialah untuk mengeluarkan garis panduan berbentuk polisi itu akhir tahun ini.

"Kita juga menggalakkan penyertaan pihak seperti PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya), hospital di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan hospital swasta.

"(Langkah ini) supaya wujud satu SOP yang bakal menjadi garis panduan untuk pengendali hospital serta pegawai-pegawai perubatan dan kakitangan sokongan di setiap hospital," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah ingin tahu langkah kementerian dalam menetapkan SOP di hospital berikutan kejadian kegagalan bekalan elektrik di PPUM baru-baru ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung dakwaan pesakit tidak mendapat rawatan terutama yang dimasukkan ke hospital pada hujung minggu, Rosnah berkata, perkara itu boleh dirujuk kepada pegawai perubatan atau jururawat bertugas.

Namun, pesakit dinasihat membuat aduan secara rasmi kepada pengurusan hospital jika ia terus berlaku bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana kakitangan terbabit.

Dalam pada itu, Rosnah mengakui bilangan kakitangan hospital adalah lebih kecil pada hujung minggu berbanding waktu biasa.

Beliau bagaimanapun menegaskan bukan menjadi amalan di hospital kendalian Kementerian Kesihatan untuk membiar pesakit menahan sakit sehingga rawatan sesuai diberikan bila minggu baharu bermula.

"Adalah menjadi tanggungjawab pegawai termasuk pakar perubatan untuk memberi rawatan kepada pesakit," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment