My Add

Monday 29 October 2012

2 sahabat didakwa edar dan miliki dadah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Dua sahabat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua minggu lalu.

Mah Ken Toh, 38, dan Cheng Chee Choong, 40, didakwa mengedar 13 peket plastik berisi dadah Methamphetamine anggaran berat 63.68 gram, di hujung Jalan Gelang, Off Jalan Sungai Besi, dalam daerah Dang Wangi, pada jam 10.30 malam, 17 Oktober lalu.

Kedua-dua penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mah dan Cheng juga didakwa memiliki 20 keping foil mengandungi 200 biji pil dadah Nimetazepam, pada waktu dan tempat sama, dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzarika Sahak.

Mahkamah menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment