My Add

Wednesday 3 October 2012

Tanah 323.7 hektar milik Yayasan Basmi Kemiskinan dikembalikan

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Oktober, 2012: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) akan meneruskan projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Serendah setelah Mahkamah Tinggi memutuskan tanah seluas kira-kira 323.7 hektar yang 'dirampas' kerajaan negeri Selangor sejak 2010 dipulangkan kepada badan itu.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, hasrat itu tidak pernah terkubur meskipun kerajaan negeri enggan meluluskan pembinaan projek itu pada 2009 sehingga kini.

"Hasrat untuk meneruskan projek tersebut kini dibincangkan dengan Lembaga Pengarah dan cadangan baharu mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Peristiwa pelucutan hak tanah itu membuatkan kami rasa terpukul, namun bersyukur apabila harapan masyarakat di Serendah dan Hulu Selangor untuk melihat transformasi pembangunan termasuk kewujudan sebuah universiti berjaya dikembalikan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Pada 2010, 323.7 hektar (800 ekar) tanah milik YBK dilucutkan hak selain bayaran ke atas cukai tertunggak yang dituntut oleh kerajaan negeri Selangor dikembalikan atas alasan tidak munasabah dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

Daripada jumlah itu, seluas 88.2 hektar telah dipersetujui kerajaan Malaysia dan YBK untuk dijadikan lokasi projek pembinaan UiTM Kampus Serendah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini telah memerintahkan kerajaan negeri Selangor memulang tanah milik YBK itu.

Menurut Zainal Abidin, semangat untuk meneruskan pembinaan tersebut semakin menebal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memberikan sokongan padu untuk merealisasikan projek berkenaan melalui transformasi bersyarat.

"Disebabkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan meluluskan projek itu yang jelas memberi erti besar kepada masyarakat di sana, hasrat ini hanya dapat dinyatakan melalui kuasa Perdana Menteri.

"Perdana Menteri kerap mengulangi ucapan sekiranya kerajaan negeri dikembalikan kepada pentadbiran Barisan Nasional, sebuah universiti akan dibina seperti diharapkan," katanya.

Mengulas perkembangan projek pembinaan UiTM Kampus Jasin, Zainal Abidin berkata, projek tersebut telah siap 40 peratus dan dijangka boleh digunakan pada Julai 2013.

"Hulu Selangor adalah tiga kali besar daripada Melaka, namun pembinaan yang sangat memberi erti kepada rakyat itu tidak diendahkan kerajaan negeri kerana membuat keputusan berpandukan nafsu serta syarat-syarat tidak masuk akal yang jelas berbaur kepentingan politik.

"Sewajarnya penduduk di Hulu Selangor telah lama mendapat manfaat daripada pembangunan ini, malangnya kerajaan negeri tetap bertekad menolaknya meskipun ia bertujuan baik untuk melahirkan modal insan cemerlang," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment