My Add

Tuesday, 30 April 2013

Polis nafi hanya beri tumpuan pada politik

PAPAR, ISNIN, 29 April, 2013: Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh pasukan keselamatan itu hanya memberi tumpuan terhadap politik sehingga tidak mampu menangani kes-kes jenayah di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, tugas polis bukan hanya menyelesaikan kes berkaitan dengan politik sahaja tetapi turut menjaga ketenteraman awam seperti mana yang ditetapkan dalam Seksyen 3(3) Akta Polis.

"Kita ada Indeks Prestasi Utama (KPI) dan ada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kalau kita fokus kepada politik sahaja, kita tidak dapat mencegah jenayah dan tidak dapat menjaga ketenteraman awam seterusnya kita tidak akan dapat memastikan Sabah ini selamat.

"Sepatutnya pihak yang bercakap itu kena melakukan sesuatu untuk membantu kita bagaimana hendak mengekalkan keselamatan sebab polis tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana tugas kita ialah untuk pastikan keselamatan dapat dikekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di Dewan Masyarakat Papar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment