My Add

Tuesday, 30 April 2013

PRU-13: 'Ini kalilah' pengundi akan 'ubah' pembangkang di Kepong

KEPONG, ISNIN, 29 April, 2013: Majoriti pengundi di Parlimen Kepong akan menyahut seruan 'ini kalilah' 'ubah' pembangkang dengan memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk A. Chandrakumanan.

Menurut Pengerusi Pengerusi Persatuan Penganut Pemuja-Pemuja Yuen Long Rimbunan Kepong, Lok Seng, peralihan sokongan itu berpunca daripada kegagalan penyandang daripada DAP menyelesaikan permasalahan penduduk Kepong sejak mula menjadi Ahli Parlimen kawasan itu pada 1995.

Menurut beliau, sejak DAP menguasai Parlimen Kepong, masyarakat di sini amat sukar bertemu wakil rakyat mereka apatah lagi untuk menyampaikan permasalahan di kawasan berkenaan kepada beliau.

"Dahulu kami beri undi kepada mereka (DAP) tetapi sejak menjadi wakil rakyat amat sukar bagi penduduk Kepong berjumpa ataupun mengadu masalah.

"Kalau pun dapat jumpa dan mengadu, respons beliau ialah tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen ialah hanya menyampaikan aduan rakyat di sidang Parlimen," dakwa Lok Seng ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan oleh Chandrakumanan di Pusat Khidmat BN di sini hari ini.

Kawasan P114 Parlimen Kepong akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Chandrakumanan; calon DAP, Dr. Tan Seng Giaw, yang juga penyandang; dan calon Bebas, Yee Poh Ping dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.

Kata-kata Lok Seng turut disokong Chandrakumanan yang juga menambah bahawa maklum balas daripada program-program "turun padang" yang diadakan juga menunjukkan aduan yang sama mengenai wakil DAP berkenaan.

"Mereka kata masalah di Kepong adalah berada di bawah pentadbiran kerajaan pusat dan tiada apa yang boleh dilakukan.

"Ini tidak betul, kawasan ini di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan masalah di sini ialah masalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta perlu diselesaikan di peringkat tempatan," kata beliau.

Tegas Chandrakumanan, pengundi dewasa ini sudah sedar dan kegagalan DAP dalam menangani masalah setempat sejak 30 tahun dahulu akan memakan diri mereka pada PRU-13 nanti. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment