My Add

Saturday, 18 January 2014

Hadkan kedalaman pemilikan tanah

Oleh AZMAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Kesukaran membina prasarana di bawah tanah menyebabkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), mencadangkan agar kerajaan mewartakan undang-undang pemilikan tanah berdasarkan had kedalaman tertentu.

Undang-undang itu juga dipercayai boleh membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan yang membabitkan sistem pengangkutan bawah tanah, pembetungan, telekomunikasi dan lain-lain.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Haris Fadzilah Hassan berkata, kerajaan seharusnya mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan satu undang-undang yang dapat digunakan bagi mengatasi hak pemilikan tanah seperti mana yang telah digunakan oleh Akta Penerbangan Awam bagi kategori udara.

Katanya, dengan mengambil kira pembangunan yang akan dirancang oleh tuan tanah dan kebebasan untuk meminda penggunaan tanah, adalah wajar sekiranya pemilikan mutlak bagi kedalaman tanah yang dimiliki, dihadkan.

"Saya mencadangkan supaya had kedalaman pemilikan tanah oleh tuan tanah adalah sehingga 20 meter.

"Hal ini kerana pemilikan tanah tidak boleh dikira kedalaman sehingga ke paras paksi bumi dan itu menyukarkan proses pembangunan oleh kerajaan pada masa akan datang,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau juga turut mencadangkan had pemilikan tanah bagi kategori pembangunan perlu dihadkan sehingga 10 meter dari aras bawah laut manakala kategori perdagangan adalah 15 meter.

Katanya, pembangunan di kawasan padat seperti di ibu kota yang melibatkan bangunan pencakar langit, had kedalaman harus diselaraskan bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu.

Jelasnya, langkah mewartakan undang-undang pemilikan tanah berdasarkan had kedalaman dapat memberi garis panduan jelas terhadap pemilikan tanah selain dapat memastikan kebolehlaksanaan sesuatu pembangunan bersama bagi mewujudkan integrasi yang lebih cekap dan mesra pengguna.

Malah, had pemilikan tanah berdasarkan kedalaman ini dapat memastikan bangunan-bangunan bersejarah dan bangunan tarikan pelancong dapat dikekalkan selain menambah kualiti perkhidmatan awam ke destinasi-destinasi tersebut. - UTUSAN2 

No comments:

Post a Comment