My Add

Sunday, 19 January 2014

Kabinet terima cadangan penambahbaikan SOP banjir

 * NAJIB Tun Razak melihat peralatan elektrik yang akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir daerah Pekan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Pekan di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM) Pekan, Pahang, semalam. Turut kelihatan Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri).
PEKAN, SABTU, 18 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet menerima cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi banjir termasuk sistem amaran awal dan projek tebatan banjir.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan meminta Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melakukan penambahbaikan model amaran dan sistem amaran awal banjir menggunakan teknologi canggih serta penyebaran secara umum dengan lebih berkesan.

Beliau menambah, kerajaan juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan rancangan tebatan banjir bagi mengurangkan bencana itu pada masa hadapan.

"Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan membina tebatan banjir iaitu di Kemaman (Terengganu) melibatkan RM480 juta dan Sungai Isap (Kuantan) sebanyak RM700 juta.

"Selain itu, aset-aset tambahan seperti bot dan trak berkeupayaan tinggi untuk masuk ke kawasan banjir juga akan dipertimbangkan berikutan melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan Banjir peringkat Pekan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Pekan di sini hari ini.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhamad, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam majlis itu, seramai 1,504 penerima yang merupakan mangsa banjir daerah menerima sumbangan berupa wang tunai RM500, peti sejuk, televisyen, tilam dan bantal yang akan diagihkan secara berperingkat dalam tempoh sebulan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengumumkan sumbangan tambahan berupa periuk nasi kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, SOP yang telah dikemaskini diharap pengurusan banjir negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efisien.

Dalam pada itu Najib menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO serta parti komponen lain perlu menunjukkan keprihatinan kepada rakyat walaupun di waktu susah dan senang.

"Kerajaan menyedari bantuan RM500 kepada setiap keluarga mangsa mungkin tidak berbaloi berbanding kesusahan dan kerugian dialami mereka akibat bencana itu.

"Kita mesti bersama-sama mereka di saat susah dan senang. Jika ada rezeki, kerajaan berikhtiar melalui peruntukan dan dana tambahan supaya bantuan kepada mangsa terlibat bencana itu boleh ditokok tambah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment