Tiada tarikh tepat pindah peniaga bazaria larut malam Danau Kota
KUALA LUMPUR, SELASA, 01 April, 2014:Tiada tarikh tepat ditetapkan untuk memindahkan peniaga di Bazaria Larut Malam Danau Kota memandangkan projek pemindahan itu memerlukan masa antara dua dan tiga tahun.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata beberapa hal seperti isu tanah dan reka bentuk pembangunan tapak baharu juga perlu diselesaikan terlebih dahulu.
"Lokasi yang dicadangkan mempunyai masalah pengambilan tanah. Tanah itu milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan terdapat dua kaedah yang boleh dibuat iaitu dengan pengambilan tanah atau pajak daripada pemilik PTP itu dan ini memakan masa lama untuk diselesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju) yang ingin tahu tarikh tepat pemindahan bazar larut malam uptown itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Isu penempatan semula peniaga bazar Danau Kota, Setapak di sini bermula pada 2011 dan pemindahan itu dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka panjang beberapa isu yang timbul ekoran aktiviti perniagaan di pinggir kota tersebut.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment