My Add

Wednesday 14 September 2011

Deklarasi Bukit Kepong 'Hidup Pejuang'

LAUNGAN ‘Hidup Pejuang!’ bergema tiga kali di tapak bersejarah Balai Polis Bukit Kepong apabila hampir 1,000 orang bekas polis dan tentera serta waris peristiwa itu berhimpun bagi membantah tindakan pihak yang mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan negara.

Dalam majlis Memperingati Pejuang Negara yang julung kali diadakan di pekarangan balai polis itu Selasa, linangan air mata dapat disaksikan di kalangan bekas anggota keselamatan serta waris keluarga mereka mengenangkan tragedi menyayat hati pada 23 Februari 1950 itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia, segala peristiwa pahit dan duka dalam perjuangan memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) kembali terimbau dalam segmen pantomin peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada majlis itu.

Dalam reaksi senada, kesemua bekas anggota pasukan keselamatan telah bangkit mengecam kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempersendakan pengorbanan pasukan polis.

Pada majlis itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia serta Persatuan Veteran Tentera Melayu turut sepakat mengeluarkan Deklarasi Bukit Kepong bagi mengingatkan semua pihak agar tidak mengguris hati dan perasaan para pejuang yang menjaga kedaulatan negara.

Deklarasi itu yang dibacakan pada majlis itu berbumyi:.. Bahawa kami seluruh ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia pada 13 September 2011 dengan ini membantah serta menolak apa-apa jua kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Deklarasi itu kemudian diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Bekas Polis Johor, Datuk Mohd. Shah Isnin kepada Kurator Muzium Polis, Supritendan Said Zainal Abidin Said Zain. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Satu forum bertajuk, Siapa Pejuang Sebenar juga diadakan. Ahli-ahli panelnya ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor; Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Rosli Salehuddin serta bekas Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Shaharuddin Abd. Aziz sebagai moderator.

Selain mengunjungi tapak bersejarah di Bukit Kepong itu, bekas polis, tentera serta waris keluarga turut meluangkan masa melawat Pameran Memperingati Pejuang Negara, bacaan tahlil serta lawatan ke tanah perkuburan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

Dalam forum tersebut, Rahim menempelak pihak-pihak yang mengocak kedamaian negara dengan mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan dan cubaan halus membangkitkan semula perjuangan PKM yang mengorbankan banyak nyawa pasukan keselamatan dan orang awam.

“Sekarang sudah ada suasana di mana orang mempersoalkan peristiwa Bukit Kepong, orang putar belitkan fakta. Ada yang berpendidikan doktor falsafah yang turut mempertikai sejarah dengan matlamatnya menghalalkan cara,” katanya.

Jelasnya, beliau bimbang kenyataan sebagaimana yang dikeluarkan Mohamad yang mempertikaikan sejarah akan menimbulkan gelombang sehingga menimbulkan ketidakstabilan dan menjejaskan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ramlah berkata, usaha untuk menerangkan fakta sejarah negara kepada generasi muda perlu diperluaskan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan pembohongan yang tersebar luas terutamanya di Internet.

“Saya sudah menulis banyak buku tetapi orang tidak baca, orang baca laman web, jadi kita semua kena membetulkannya dengan cara mendidik anak kita tentang sejarah dan dasar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun Mohamad Indera yang mengetuai serangan komunis terhadap Balai Polis Kepong dikatakan warak dan kuat agama, fakta sejarah menunjukkan ramai dalam kalangan orang yang berpendidikan agama dipengaruhi PKM sehingga menjadi kuda tunggangan.

“Latar belakang pemimpin PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh adalah daripada pendidikan agama tetapi mereka tidak diberitahu mengenai tujuan sebenar komunis untuk menakluk negara,” katanya.

Sementa itu, lebih 500 penduduk berhimpun di Bukit Kepong bagi membantah kenyataan TimMat Sabu. Penduduk yang lengkap dengan sepanduk serta kain rentang yang mengecam tindakan Timbalan Presiden Pas itu berkumpul di hadapan tapak sejarah Balai Polis Bukit Kepong sebelum berarak ke pekarangan gerai Majlis Perbandaran Muar (MPM) Bukit Kepong.

Mereka kemudiannya menjayakan Majlis Semarak Merdeka Parlimen Pagoh yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh, Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Johor, Biro Penerangan UMNO Bahagian Pagoh dan penduduk kampung mukim Bukit Kepong.

Terdahulu, laporan polis bagi mengecam kenyataan Mat Sabu itu dibuat oleh waris keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong, wakil penduduk Bukit Kepong dan wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Muar di Balai Polis Lenga.

Hadir sama mengiringi mereka membuat laporan polis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Mohd. Salleh, Senator Noriah Mahat dan Senator Mohamed Ezam Mohd. Nor.

Menurut Tahir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah mengenai perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang menentang pengganas komunis bagi memelihara keamanan negara.

Katanya, sejarah kemerdekaan negara yang dipelopori oleh UMNO juga tidak boleh dipertikai kerana parti itu telah membawa negara mencapai kestabilan, keamanan serta kemajuan.

“Hari ini perjuangan bangsa cuba dinafikan pembangkang untuk meraih sokongan sehingga tergamak memadam sejarah perjuangan negara semata-mata untuk mendapatkan undi,” katanya.

No comments:

Post a Comment