My Add

Wednesday 14 September 2011

Mat Sabu boleh disiasat dibawah Kanun Keseksaan

TIMBALAN Presiden Pas, Mohamad Sabu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung dakwaannya yang menganggap Muhammad Indera @ Mat Indera dan komunis sebagai hero sebenar.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berkata, Mat Sabu juga boleh disiasat mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan jika Pas berjaya merampas tampuk pemerintahan negara, dia akan mengubah fakta sejarah.

Tegas beliau, siasatan boleh dijalankan oleh polis kerana banyak pihak terperanjat dengan kenyataan tersebut dan ada di kalangan rakyat yang berasa cemas ekoran dakwaan tersebut, lapor Utusan Malaysia.

"Kenyataan yang terang-terangan palsu itu ada implikasinya jika kita teliti perkara ini secara mendalam kerana di situ terdapat bibit-bibit hasutan.

"Dia (Mat Sabu) sudah jauh tersilap dari segi fakta dan dari segi sentimen, saya nyatakan perkara ini kerana saya tengok dia tidak menyesal langsung mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Orang kalau menyesal dia akan cakap sebagai terlanjur (kata) tetapi dia tidak," katanya kepada pemberita di Putrajaya, Selasa.

Terdahulu beliau bersama seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussein Ismail dan persatuan-persatuan bekas polis dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar menghadiri pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kementerian Dalam Negeri.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap Mat Sabu, beliau berkata, ia tidak perlu kerana pemimpin Pas itu tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara.

"Bagaimanapun kalau perkara ini diperjuangkan secara lebih besar dan serius ia mungkin memberi implikasi kepada keselamatan, maka kerajaan perlu ada pertimbangan lain kerana masih ada lagi undang-undang yang boleh dipertimbangkan," katanya.

Hanif menambah, Peguam Negara perlu faham bahawa kepentingan awam mesti diambil kira dalam menentukan sama ada keputusan untuk mendakwa Mat Sabu itu dipercepatkan atau sebaliknya selepas siasatan polis selesai.

''Sekiranya laporan siasatan telah dimajukan kepada Peguam Negara dan tidak cukup bukti, maka laporan itu perlu dikembalikan kepada polis secepat mungkin.

''Pada masa ini saya tidak pasti sama ada siasatan polis terhadap Mat Sabu sudah selesai atau tidak tetapi yang pentingnya kepentingan awam mesti diambil kira," katanya.

No comments:

Post a Comment