My Add

Wednesday 14 September 2011

Laporan penuh perhimpunan Bersih ke Kabinet

LAPORAN penuh berkaitan pelbagai tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lepas telah dikemuka kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Perlis Rabu, laporan itu akan dikemukakan oleh Hishamuddin krpada mesyuarat Kabinet.

Kaanya. laporan yang dikemukakan itu hasil siasatan yang dilakukan oleh enam jawatankuasa yang dibentuk dan Ismail berkata beliau berpuas hati dengannya.

Ditanya sama ada laporan siasatan itu akan diumumkan kepada orang ramai, Ismail berkata, ia bergantung kepada keputusan Kabinet kelak.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Hishamuddin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Norian Mai di Putrajaya, Selasa.

“Adalah penting orang ramai tahu isu-isu yang sah dan benar semasa pasukan polis menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Dalam hal ini, saya ingatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa jangan kita pilih kasih, apa yang betul adalah betul dan yang salah adalah salah,” kata Hoshamuddin.

Sebelum ini, PDRM mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bersih untuk menyiasat enam tuduhan terhadap pasukan polis yang menjalankan tugas semasa perhimpunan haram itu.

Kesemua tuduhan disifatkan tohmahan terhadap PDRM itu dilemparkan ke atas anggota dan pegawainya yang didakwa bertindak zalim dan ganas semasa mengawal perhimpunan berkenaan.

Hishammuddin menegaskan, dalam konteks polis, perkara berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) merupakan sesuatu yang perlu mereka pegang dan praktikkan semasa bertugas.

“Kalau ada pihak-pihak yang tidak mengikut prosedur ditetapkan, itu juga mesti didedahkan. Selain itu, tuduhan-tuduhan tidak berasas yang merupakan laporan palsu, tindakan juga perlu diambil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan terhadap hasil laporan adalah tanggungjawab Pejabat Peguam Negara dan bukannya polis.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, beliau berkata, ia membabitkan perbincangan yang dapat membantu kerajaan melihat kepada kebajikan, struktur dan cara memperkasa PDRM sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan.

“Kita mahu yakinkan orang ramai tanpa mengira kaum dan agama bahawa profesion polis adalah kedudukan yang cukup penting untuk membina negara bangsa pada masa-masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment