My Add

Wednesday 14 September 2011

UMNO Selangor saman Setiausaha Agung Pas

UMNO Selangor memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta terhadap Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, dan lima yang lain berhubung dakwaan bahawa parti itu mendalangi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 12 tengah hari Rabu (14 September 2011), melalui firma guaman Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

Selain Mustafa, beliau menamakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd; penyunting akhbar berkenaan, Ahmad Lutfi Othman; dan wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad; selaku defendan kedua hingga keenam, lapor BERNAMA.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Zin berkata Mustafa pada 15 Ogos 2011 ditemuramah oleh Khairul Azlam yang mana Setiausaha Agung PAS itu didakwa memfitnah UMNO berkaitan wadah dan perjuangan politik mereka.

Seterusnya, Mohd Zin mendakwa dalam edisi Harakah bertarikh 19 Ogos 2011-21 Ogos 2011, Mustafa menyebabkan atau mengizinkan untuk dicetak dan diterbitkan mengenai kata-kata fitnah tersebut dalam sebuah artikel di halaman kedua akhbar itu bertajuk "Pas akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais" berserta gambar.

Sehubungan itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar gantirugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel, faedah sebanyak empat peratus setahun dan satu arahan injunksi untuk menahan mereka daripada berbicara atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata fitnah itu kepada plaintif, baik secara lisan atau di media cetak dan Internet.

Beliau juga menuntut semua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Mohd Zin, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah telah menetapkan 28 September ini untuk pengurusan kes.

No comments:

Post a Comment