My Add

Wednesday 14 September 2011

Mat Sabu 'gagal' sebut judul buku iktiraf Mat Indera

MOHAMAD Sabu 'gagal' untuk mengemukakan judul buku yang dirujuknya bagi membuktikan bahawa Muhamad Indera yang mengepalai serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong 61 tahun lalu adalah pejuang kemerdekaan.

Timbalan Presiden Pas, itu sebaliknya menyatakan secara umum buku-buku yang dibacanya sebelum membuat kesimpulan bahawa sejarah negara perlu ditulis semula dengan memasukkan tokoh-tokoh pejuang kiri.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Mat Sabu menyatakan demikian ketika ditanya seorang lelaki yang mengaku ahli Pas dari Pasir Puteh pada Forum Rakyat di di Dataran Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Bharu Isnin malam.

"Saya baca banyak buku, tulisan Salman Rushdi, (Tun) Dr. Mahathir Mohamad, Tunku Abdul Rahman, Chin Peng dan Shamsiah Fakeh, semuanya saya baca dan kemudian kita timbang secara waras.

"Jangan takut untuk membaca apa saja jenis buku kalau kita berpegang pada dasar Islam," katanya ketika menjawab soalan mengenai buku yang dirujuknya sehingga mencetuskan fenomena Mat Indera sebagai pejuang merdeka.

Forum anjuran Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan itu turut disertai pensyarah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Mohamad Abu Bakar. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi terbaru apabila menyifatkan komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan.

Perkara itu disebut Mat Sabu ketika menyampaikan ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dan ekoran daripada itu, pelbagai pihak bertindak mengecam kenyataan tersebut malah ada yang membuat laporan polis terhadapnya.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO telah menanamkan rasa benci terhadap pejuang berhaluan kiri seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan Rashid Maidin apabila mengaitkan mereka dengan komunis yang kejam tanpa memberikan penerangan yang jelas mengenai ideologi itu.

Malah, beliau turut menyifatkan pemimpin gerila komunis seperti Rashid dan Shamsiah Fakeh sebagai turut memperjuangkan agama Islam dan bahasa Melayu.

"Kita benci komunis tapi kita tidak tahu apa dia, maka orang yang menyokong komunis kita tuduh mereka tidak percaya tuhan, tidak ada agama, tetapi selepas perjanjian damai, saya pergi melawat ke kem Rashid Maidin di Weng, Selatan Thai, kali pertama saya masuk kem nampak surau, saya tanya mereka Rashid Maidin buat apa di kem ini, mereka kata dia mengajar al-Quran, kemudian masa sembahyang dia jadi imam.

''Selepas itu saya tengok di papan hitam mereka ada tulisan jawi, saya tanya dia apa dia tulisan ini, mereka kata kami belajar bahasa Melayu dengan tulisan jawi.

"Datang dalam fikiran saya yang mana satu kerana kita ingat mereka ganas, bengis bunuh orang tetapi pada masa yang lain dia memelihara tulisan jawi, bahasa kita dan lebih menarik perhatian saya lagi, komunis dari kaum Cina bertahun-tahun hidup dalam hutan bergaul dengan orang Islam tetapi tidak ada seorang pun yang murtad," katanya.

No comments:

Post a Comment