My Add

Monday 12 September 2011

Sejak bila Nik Aziz terima wahyu keluarkan fatwa?

KENYATAAN Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa usaha UMNO untuk menawan Kelantan tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak menjadi perbahasan umum.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bertanya kepada Nik Aziz, sejak bila beliau 'menerima wahyu' sehingga Mursyidul Am Pas itu boleh mengeluarkan 'fatwa' itu.

UMNO Kelantan pula meminta Pas jangan perlekeh usaha parti itu menegakkan syiar Islam.

Nik Aziz pernah mendakwa usaha UMNO Kelantan untuk menawan kembali negeri itu daripada Pas tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam yang kononnya diperjuang parti tersebut.

Brberapa akhbar Isnin, menyiarkan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibarahim Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Ibrahim berkata, jika benar Nik Aziz dimuliakan sehingga melayakkan beliau menjadi orang Melayu pertama 'menerima wahyu' daripada Allah.

Mursyidul Am Pas itu, katanya lagi perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negara ini nama malaikat yang ditugas untuk menjalankan amanah tersebut.

"Saya nak tanya sejak bila pula Nik Aziz ini 'terima wahyu' sehingga dia boleh mengeluarkan 'fatwa' berdosa jika kerajaan Pas Kelantan dirampas oleh UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

"Jika benar beliau terima 'wahyu' berkenaan, sebutlah malaikat mana pula yang ditugaskan menyampaikan wahyu itu?

"Pada Nik Aziz, semua yang berkait dengan UMNO berdosa. Apa yang tidak berdosa pada pemikiran beliau hanya bersubahat dengan DAP walaupun akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang Melayu beragama Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Ibrahim tidak sedikit pun setuju dan percaya dengan 'fatwa' karut Mursyidul Am Pas itu kerana yakin jika UMNO berjaya menawan kembali Kelantan yang sudah diperintah selama 21 tahun oleh Pas, rakyat negeri itu akan menikmati kehidupan lebih senang.

Jelas beliau, rakyat Kelantan tidak lagi akan dibelenggu dengan masalah air iaitu salah satu keperluan asas yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan Pas Kelantan walaupun sudah lebih dua dekad memerintah kerana pemimpinnya lebih sibuk berceramah berbanding memikirkan cara menyelesaikan masalah rakyat.

"Pemimpin Pas Kelantan yang diketuai Nik Aziz langsung tiada inovasi dalam pentadbiran meskipun untuk menyelesai masalah yang paling asas. Air bersih adalah keperluan asas, tapi apa yang Pas buat selepas 21 tahun? Mereka hanya pandai menuduh dan memburukkan orang lain dalam ceramah sahaja," katanya.

Mustapa pula mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Katanya, banyak perubahan sudah dialami negara hasil sumbangan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

Justeru, Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Nik Aziz agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan UMNO terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam.

"Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu..

Beliau berkata, lebih wajar PAS melihat sumbangan UMNO daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini.

"Kalau dulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya. Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan.

"Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Mustapa menegaskan UMNO ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata, kini biarlah rakyat Kelantan yang menilai prestasi UMNO dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti.

No comments:

Post a Comment