My Add

Monday 19 September 2011

UMNO dakwa Pas tidak akan laksana hukum hudud

UMNO Kelantan menyiafatkan  Pas hanya mahu mempertahankan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang di negeri ini dengan mengulangi 'gula-gula' untuk melaksanakan hukum hudud.

Utusan Malaysia  memetik Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai berkata, hukum tersebut jelas tidak akan dilaksanakan kerana ia ditolak sepenuhnya oleh rakan-rakannya dalam pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
.
Beliau berkata, Pas akan mengetepikan Islam dan semua kepentingan rakyat semata-mata untuk mencapai tujuan utamanya iaitu kemenangan dalam pilihan raya.

“Dahulu ada hudud, sekarang sudah tukar kepada kebajikan, dia (Pas) tidak sebut lagi pasal hudud sekarang ini sehingga semalam berbunyi semula.

“Ini disebabkan rakan dalam pembangkang telah menolak hudud dan mereka (Pas, DAP dan PKR) tidak lagi menitikberatkan kebajikan rakyat kerana mereka lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di pekarangan Sekolah Kebangsaan Padang Garong di Kota Bharu, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pas untuk terus melaksanakan hudud di negeri ini biarpun ditentang oleh rakan-rakannya dalam pembangkang.

Malah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut dilaporkan berkata, beliau memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan negeri ini melaksanakan hudud dan qisas.

Sementara itu, Mustapa berkata, enam daripada 14 bahagian UMNO di negeri ini telah mengadakan simulasi pilihan raya.
“Sasaran kita 10 peratus daripada daftar pemilih keluar mengundi dan semuanya saran itu tercapai malah ada kawasan yang mencecah 15 peratus.

‘‘Bagaimanapun masalah utama kita adalah golongan muda ramai yang tidak keluar kerana kebanyakan mereka berada di luar Kelantan, justeru kita perlu mencari jalan untuk mendekati mereka.

“Simulasi ini diadakan bagi menggerakkan jentera kita supaya bersiap-sedia bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Mustafa turut menafikan UMNO telah menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya percubaan itu.

No comments:

Post a Comment