My Add

Monday 14 November 2011

Aktiviti positif bantu penjawat awam tingkat produktiviti

AKSI Muhyiddin ketika isteri, Norainee membuat balingan bowling kelapa pada Hari Keluarga Kementerian Pelajaran Malaysia, turut kelihatan Wee Ka Siong.


Oleh Syuhada Choo Abdullah

ISNIN, 14 November, 2011: Hubungan baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, lapor Berita Harian.                                     

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, berkata penjawat awam perlu meluangkan masa menyertai aktiviti bersama ahli keluarga, seperti Hari Bersama Warga Kementerian Pelajaran 2011 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, program tahunan itu memberi peluang kepada warga kementerian untuk mengambil bahagian bersama ahli keluarga dalam pelbagai acara disediakan, sekali gus meningkatkan semangat kekeluargaan sesama mereka.

“Tentulah ini suatu yang amat kita harapkan. Dengan aktiviti sebegini, kita dapat relaks sedikit...tidak selalu terbeban dengan tekanan kerja. Kita tahu Kementerian Pelajaran adalah salah satu kementerian yang begitu besar dari segi bilangan anggota lebih 500,000 orang dan juga pendidikan adalah bidang amat penting untuk negara. 

“Jadi, semua ini adalah suatu tanggungjawab amat besar bagi kita. Setiap hari, kita menjalankan tugas seolah-olah kerja kita tidak akan selesai sampai bila-bila tetapi pastinya sebagai manusia, kita juga perlu beristirehat baik dari segi pemikiran atau pun tubuh badan yang ada had serta batasan untuk menanggung tekanan kerja. 

“Justeru, hal seperti ini kita ambil kira supaya kita dapat mengalihkan sejenak pandangan, bukan kepada kerja harian tetapi pentingnya hubung keluarga. Ini kerana produktiviti yang diharap dapat kita curahkan dalam segala urusan kerja akan tertakluk kepada suasana rumah, keluarga dan hubungan baik dengan ahli keluarga. 

“Sebab itu, inilah waktu yang harus kita luangkan (bersama ahli keluarga dalam program berkenaan) kerana selepas ini, kita akan kembali semula kepada tugas masing-masing yang tentunya jawatan serta beban sudah diberikan kepada kita adalah amat besar sekali,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Bersama Warga Kementerian Pelajaran 2011 itu. 

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed. 

Kira-kira 3,000 warga Kementerian Pelajaran dan ahli keluarga masing-masing memeriahkan program sehari itu. 

Pada majlis itu, Muhyiddin bersama isteri turut mengambil bahagian dalam senamrobik, di samping melakukan demonstrasi cara memasak `Ikan Asam Pedas Muar’ yang kemudian berjaya dilelong pada harga RM600 kepada Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Pelajaran, Datin Rohana Abdullah.

No comments:

Post a Comment