My Add

Thursday 24 November 2011

Ambil tindakan terhadap pihak semarak api kebencian

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011: 
KERJAAN terutama Kementerian Dalam Negeri didesak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyemarakkan api kebencian terhadap negara ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, ini kerana, tindakan tersebut akan mengancam nyawa para atlet, pelajar dan rakyat Malaysia secara umumnya di negara luar.

"Agenda kotor untuk terus memburuk-burukkan negara terutama di Indonesia oleh pembangkang yang kononnya negara menzalimi pendatang asing tanpa izin telah mengancam keselamatan rakyat Malaysia di republik itu.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu jugalah yang menyebabkan wujud kelompok rakyat Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan melempar najis ke kedutaan kita.

"Terbaru, pasukan bola sepak negara terancam dengan kelakuan peminat bola sepak republik itu pada temasya Sukan SEA XXVI. Ini menunjukkan bahawa politik telah memasuki arena sukan yang sepatutnya bebas," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Zahrain yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang kesal dengan perkembangan tersebut dan menggesa politik tanpa mengira sempadan yang dipromosikan pembangkang dihentikan serta-merta.

Katanya, berbeza dengan pembangkang di Singapura, meskipun mereka ditekan hebat kerajaan negara itu, namun tidak pernah membawa mulut dan memburuk-burukkan negara mereka berikutan semangat patriotik yang subur.

"Pembohongan demi pembohongan yang dikeluarkan pembangkang terhadap negara kepada luar merugikan Malaysia dan ini perlu ditegah melalui tindakan tegas," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment