My Add

Tuesday 8 November 2011

BN tumpu bahas janji pembangkang yang tidak ditunai

SELASA, 08 November, 2011: Barisan Nasional (BN) Selangor akan menumpukan perbahasan berhubung pelbagai isu 'mungkir janji' kerajaan pakatan pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok.

Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman.berkata, BN selaku pembangkang di Selangor akan mendedah dan membongkar pelbagai isu dan penyelewengan pentadbiran pakatan rakyat yang dibentuk antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP setlah  mengambil alih pemerintahan negeri selama tiga tahun tujuh bulan, sejak 8 Mac 2008.

"Pakatan pembangkang gagal menunaikan janji-janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum ke-12 lepas, yang menekankan antaranya janji-janji untuk mewujudkan pentadbiran berwibawa, bertanggungjawab, telus, cekap, jujur, amanah dan berintegriti tinggi," katanya pada sidang akhbar di Shah Alam, hari ini.

Mohamad Satim berkata, kerajaan negeri juga belum menunaikan janjinya untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus bagi rumah kediaman sehingga sekarang, lapor Bernama.

"Isu cukai pintu merupakan satu perkara yang amat besar kerana 60 peratus daripada masyarakat di Selangor adalah di bandar dan mengapa tidak turunkan cukai di peringkat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Mohamad Satim berkata, apa sebenarnya program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sedangkan selama tiga tahun ini tiada kedengaran pelaksanaan projek rumah kos rendah atau kos sederhana rendah tetapi sebaliknya hanya memberikan kupon RM100 untuk warga emas membeli-belah.

Selain itu, urus tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut akan dipertikaikan dan sehingga sekarang laporan audit terhadap operasi PKNS yang didakwa menghadapi masalah dan berlaku penyelewengan, masih belum lagi dikeluarkan, katanya. 

No comments:

Post a Comment