My Add

Monday 7 November 2011

Cadangan PTPTN tidak lagi beri pinjaman bukan muktamad

ISNIN, 07 November, 2011: Langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mencadangkan untuk tidak memberi pinjaman perbelanjaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam di masa akan datang bukan satu keputusan muktamad, kata pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, ia adalah satu cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan memandangkan perbadanan mengeluarkan peruntukan besar setiap tahun kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

"Ia juga salah satu usaha untuk mengatasi bebanan kewangan yang terpaksa dihadapi perbadanan tersebut kerana ramai bilangan peminjam yang tidak menjelaskan bayaran pinjaman mereka, bagaimanapun pinjaman pembiayaan yuran pengajian tetap diteruskan,” katanya kepada Bernama di Temerloh, hari ini. 

Pinjaman perlu diteruskan 

Menurut laporan Mohd. Firdaus Ismail, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan pemberian pinjaman.  

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, cadangan PTPTN untuk menghentikan pemberian pinjaman tidak kena pada masanya dan akan menyusahkan pelajar.

"Jika dihentikan, ia akan membebankan penuntut IPT kerana mereka terpaksa menanggung kos lain terutamanya jika pelajar itu mengambil jurusan yang memerlukan penggunaan alatan tambahan dan yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

"Ini tentunya membebankan terutama bagi pelajar yang datang daripada keluarga sederhana dan miskin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas cadangan PTPTN yang mahu menghentikan pemberian pinjaman 'perbelanjaan' kepada penuntut IPT sebagai langkah mengurangkan beban akibat jumlah peminjam yang bertambah setiap tahun.

Bagaimanapun, pinjaman perbiayaan yuran pengajian tetap akan diberikan seperti biasa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dalam reaksinya menegaskan pinjaman itu akan terus diberikan kerana cadangan itu boleh menimbulkan masalah terutamanya kepada pelajar kurang kemampuan.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki berkata, MBM memahami bebanan ditanggung oleh PTPTN, namun pada masa sama, tanggungjawab untuk membantu pelajar perlu diteruskan kerana ia merupakan objektif penubuhan badan itu.

"MBM menyeru agar graduan yang telah tamat belajar dan bekerja supaya segera melunaskan pinjaman mereka seperti yang telah dijanjikan pada awalnya.

"Ini penting supaya PTPTN terus mempunyai dana yang mencukupi untuk memberi pinjaman kepada kumpulan pelajar baharu yang mana jumlahnya bertambah setiap tahun," katanya.

Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, pinjaman yang diberikan oleh PTPTN kepada pelajar merupakan satu tanggungjawab sosial serta ia memainkan peranan besar dalam proses pembentukan negara.

"Ia berperanan untuk membantu pelajar. Jadi, tidak wajar jika alasan PTPTN menanggung bebanan besar sebagai punca hendak menghentikan pinjaman.

"Pada masa sama, saya mencadangkan agar badan itu menggunakan pendekatan baru seperti memperketatkan syarat pembayaran pinjaman," katanya.

No comments:

Post a Comment